KUALA LUMPUR 9 April — QL Resources Berhad diunjur menyaksikan prospek pendapatan yang sederhana pada masa depan berikutan tekanan risiko kelembapan pertumbuhan global dalam perniagaan penternakan, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan saranan "neutral" terhadap dagangan syarikat berkenaan dengan harga sasaran (TP) sesaham yang baharu iaitu turun sebanyak lima peratus kepada RM4.40 berbanding RM4.59 sebelumnya.
Perkembangan itu katanya, susulan daripada aktiviti normal perniagaan penternakan ternakan bersepadu (ILF) selepas mengalami kitaran yang melonjak baru-baru ini dan kesan cabaran persaingan sengit dalam industri pembuatan produk marin (MPM).
"Secara keseluruhan, QL Resources menawarkan profil pendapatan defensif ekoran model bisnes pelbagai dan berorientasikan ruji dijangka menarik minat pelabur, namun penilaian tinggi mungkin berdaya tahan," katanya dalam nota kajian.
Perniagaan ILF diusahakan syarikat itu kata RHB Research, berada di landasan yang betul untuk merekodkan kadar oertumbuhan tahunan kompaun pendapatan sebelum cukai selama tiga tahun sebanyak 100 peratus pada FY25.
Pertumbuhan secara mendadak itu kata firma penyelidikan berkenaan, didorong oleh faktor keadaan pasaran yang menggalakkan, penyatuan industri, pengurangan kos bahan mentah, dan program subsidi di Malaysia sendiri.
"Walaupun kami menjangkakan pendapatan terus meningkat kerana beberapa pemangkin kekal utuh pada masa depan, pertumbuhan hasil segmen mungkin mula perlahan daripada asas yang tinggi dan dinamik bekalan-permintaan lebih seimbang," katanya.
RHB Research berkata, QL Resources perlu melihat pendapatan berurutan perniagaan MPM yang lebih lemah dalam 4QFY25 disebabkan musim tengkujuh manakala persaingan ketat segmen makanan ikan dan surimi memberi cabaran aktiviti akuakultur.
Sebaliknya kata firma itu, pengembangan syarikat tersebut di Indonesia untuk menambah kapasiti produk berasaskan surimi sedang berkembang dengan baik kerana ia menyasarkan untuk memanfaatkan peluang besar di negara ini.
Pada amnya, pendapatan MPM dijangka kekal teguh, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan untuk produk makanan ruji berasaskan surimi dan pengembangan berterusan untuk meraih permintaan semakin meningkat. - DagangNews.com








