KUALA LUMPUR 25 Nov – Prestasi Pintaras Jaya Bhd diyakini terus positif berikutan prospek pertumbuhan syarikat yang kukuh, terutamanya melalui pasaran projek infrastruktur di Singapura,” kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras syarikat bagi suku pertama tahun kewangan 2026 sebanyak RM6 juta dianggap selaras dengan jangkaan, walaupun mencatat sedikit penurunan 13% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Momentum suku berikutnya dijangka meningkat susulan kemajuan projek yang lebih stabil terutamanya dalam projek mega seperti pembangunan baharu HDB dan Cross Island MRT Line Fasa 3.
“Syarikat juga berpotensi terlibat dalam kerja-kerja Terminal 5 Lapangan Terbang Changi pada separuh pertama 2026 yang dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan utama,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
RHB Research juga mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham syarikat dengan sasaran harga 12 bulan pada RM2.18, menawarkan potensi kenaikan 42% daripada harga pasaran semasa.
"Nisbah P/BV FY27F pada 0.6x, lebih rendah daripada purata lima tahun industri dan indeks Bursa Malaysia Construction, menandakan saham syarikat berpotensi dibeli pada harga menarik,” kata firma itu.
Selain pembinaan, Pintaras Jaya turut memiliki cabang pembuatan kecil tetapi menguntungkan yang menghasilkan kontena logam industri, sekali gus menambah kepelbagaian sumber perniagaan. Amalan ESG syarikat juga baik dengan skor 2.8 daripada 4, merangkumi pengurusan tenaga, kawalan sisa, keselamatan pekerja, dan tadbir urus korporat yang mantap.
Bagi suku pertama FY26, bahagian pembinaan menyumbang keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.9 juta manakala cabang pembuatan mencatat PBT RM2.3 juta.
Jumlah pendapatan suku pertama adalah RM104.3 juta, sedikit menurun 3.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. EBITDA meningkat kepada RM22.1 juta dengan margin 21.2%, manakala keuntungan bersih teras mencatat RM6 juta dengan margin 5.8%.
Sehingga akhir Jun 2025, baki pesanan syarikat di Singapura bernilai RM303 juta dengan senarai tender berjumlah RM3.5 bilion, menandakan barisan projek yang kukuh untuk suku-suku akan datang. - DagangNews.com








