Kevin Warsh beri isyarat Fed AS akan lebih tegas kawal inflasi, kadar faedah berkemungkinan kekal tinggi – Franklin Templeton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kevin Warsh beri isyarat Fed AS akan lebih tegas kawal inflasi, kadar faedah berkemungkinan kekal tinggi – Franklin Templeton

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Pengerusi baharu Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat, Kevin Warsh memberi isyarat awal pendekatan dasar monetari yang lebih ketat dalam sidang media pertamanya, sekali gus mengejutkan pasaran kewangan yang sebelum ini menjangkakan pendiriannya lebih longgar kerana menyangka beliau akan lebih cenderung kepada pemotongan kadar faedah.

 

Perubahan nada dasar itu turut berlaku dalam suasana pasaran global yang sedikit reda apabila perkembangan geopolitik melibatkan perjanjian Amerika Syarikat–Iran membantu menurunkan harga minyak dunia dan mengurangkan tekanan inflasi tenaga dalam jangka pendek dan memberi sedikit ruang kepada pasaran bon untuk stabil.

 

Pandangan tersebut diketengahkan dalam analisis oleh Ketua Pegawai Pelaburan Pendapatan Tetap Sonal Desai dari Franklin Templeton yang menyifatkan Warsh sebagai antara pengerusi Fed paling “hawkish” (cenderung menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi) sejak era Paul Volcker.

 

Desai berkata Warsh dengan jelas menegaskan Fed mempunyai keupayaan dan komitmen penuh untuk membawa inflasi kembali kepada sasaran 2 peratus selepas beberapa tahun gagal mencapainya secara konsisten dan beliau tidak melihat kegagalan itu sebagai isu sementara tetapi sebagai kelemahan dasar yang perlu diperbetulkan secara tegas.

 

“Warsh menegaskan bahawa Fed mempunyai keupayaan dan komitmen penuh untuk membawa inflasi kembali kepada sasaran 2 peratus selepas beberapa tahun gagal mencapainya secara konsisten.

 

“Dalam kenyataan awalnya, Warsh turut menekankan bahawa inflasi bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan dasar monetari yang ditetapkan oleh bank pusat, dan ini bermaksud ia boleh dikawal melalui keputusan dasar yang tepat.

 

“Beliau menyifatkan tanggungjawab Fed adalah memastikan inflasi ‘dibetulkan’ melalui tindakan dasar yang lebih tegas dan konsisten tanpa memberi ruang kepada ketidaktentuan jangka pendek,” katanya.

 

Sebelum ini, Warsh turut menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Fed perlu memilih antara mengawal inflasi atau menyokong pekerjaan, kerana kedua-duanya boleh dicapai serentak jika dasar monetari dilaksanakan dengan betul dan konsisten dalam jangka panjang.

 

Pandangan ini berbeza dengan bekas Pengerusi Fed, Jerome Powell, yang sebelum ini mengakui wujud risiko ‘trade-off’ (pertukaran dasar) antara inflasi dan pekerjaan terutama ketika kejutan ekonomi seperti kenaikan harga tenaga yang boleh menekan kedua-dua pertumbuhan dan inflasi secara serentak.

 

Dalam pendekatan baharunya, Warsh turut memberi isyarat bahawa Fed akan mengurangkan kebergantungan kepada panduan masa depan atau “forward guidance” (isyarat awal dasar kepada pasaran) yang sebelum ini banyak digunakan untuk membentuk jangkaan pelabur.

 

t
Kevin Warsh - Gambar AFP

 

Sebaliknya beliau mahu pasaran kewangan lebih bergantung kepada data ekonomi sebenar yang sedang berlaku, bukan terlalu dipengaruhi oleh kenyataan atau jangkaan arah dasar bank pusat semata-mata.

 

Selain itu, Warsh turut menekankan keperluan untuk mengecilkan saiz kunci kira-kira Fed selepas tempoh panjang dasar pelonggaran kuantitatif yang menurut beliau telah menyebabkan gangguan tertentu dalam pasaran kewangan.

 

Beliau menjelaskan bahawa saiz kunci kira-kira yang terlalu besar boleh mengganggu keberkesanan dasar monetari dalam jangka panjang serta menyukarkan penilaian sebenar keadaan kecairan dalam sistem kewangan.

 

Warsh turut mengumumkan penubuhan beberapa pasukan petugas bagi menilai semula operasi Fed termasuk aspek komunikasi dasar, kualiti data ekonomi, inovasi teknologi serta kaedah pengukuran inflasi yang lebih tepat dan relevan dengan keadaan semasa.

 

Beliau berkata penilaian tersebut bertujuan memperkukuh rangka kerja dasar monetari secara menyeluruh, namun menegaskan bahawa ia masih di peringkat kajian dan tidak melibatkan sebarang keputusan dasar yang telah dimuktamadkan.

 

Dari sudut ekonomi, Fed melihat aktiviti ekonomi Amerika Syarikat masih kukuh dengan pelaburan yang stabil, peningkatan produktiviti serta pasaran buruh yang terus berfungsi dengan baik walaupun wujud ketidaktentuan dalam beberapa sektor tertentu.

 

Warsh menyifatkan keadaan dasar monetari semasa sebagai “tidak sekata” kerana kesannya berbeza mengikut sektor, contohnya tekanan lebih ketara dalam pasaran perumahan berbanding pasaran kewangan yang masih menunjukkan prestasi kukuh.

 

Beliau juga tidak bersetuju dengan penilaian bahawa dasar Fed kini berada pada tahap sederhana sebaliknya menegaskan ia perlu dilihat secara lebih menyeluruh berdasarkan gabungan kesan pelbagai instrumen dasar termasuk kadar faedah dan kunci kira-kira.

 

Menurut Desai, reaksi awal pasaran menunjukkan perubahan jangkaan apabila pelabur mula mempertimbangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah dalam tempoh akan datang selepas nada hawkish Warsh yang lebih tegas daripada jangkaan awal.

 

“Pendekatan awal Warsh mencerminkan kembalinya dasar monetari yang lebih ‘ortodoks’ (berasaskan disiplin tradisional), dengan fokus utama mengekang inflasi dan pada masa sama memastikan ekonomi terus berkembang secara stabil tanpa terlalu bergantung kepada rangsangan luar biasa,” katanya.- DagangNews.com