Dua jet FA-50M pertama TUDM dijadual tiba Oktober, Pangkalan Udara Kuantan 90 peratus siap | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua jet FA-50M pertama TUDM dijadual tiba Oktober, Pangkalan Udara Kuantan 90 peratus siap

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kemudahan di Pangkalan Udara Kuantan di Pahang bagi menyokong operasi pesawat pejuang ringan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan dijangka siap menjelang Oktober ini.

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, pembinaan struktur asas bagi semua bangunan berkaitan kini telah mencapai 90 peratus siap.

 

Beliau berkata, seramai enam juruterbang bersama jurutera dan juruteknik sedang menjalani latihan di Korea Selatan.

 

“Enam juruterbang telah menamatkan pengajian teori dan latihan simulator serta kini sedang menjalani latihan penerbangan menggunakan pesawat TA-50 di Pangkalan Udara Gwangju.

 

 

 

 

 

 

“Dua juruterbang pertama dijangka menamatkan latihan pada Oktober, manakala empat lagi pada Disember,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68.

 

Penubuhan skuadron selepas pesawat tiba

Beliau berkata, TUDM akan menubuhkan skuadron serta membangunkan prosedur operasi standard (SOP) sebaik sahaja pesawat tersebut diterima.

 

“Dengan adanya pesawat ini, kita dapat melatih lebih ramai juruterbang secara tempatan dan mempercepatkan pembangunan mereka sebelum beralih kepada pesawat yang lebih canggih pada masa hadapan,” katanya.

 

Pada tahun 2023, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak dengan Korea Aerospace Industries (KAI) bagi memperoleh 18 pesawat FA-50M sebagai pesawat pejuang ringan/latihan lanjutan untuk TUDM.

 

TUDM dijangka menerima dua pesawat pertama pada Oktober ini, sebelum baki pesawat dihantar secara berperingkat.

 

MERAD dalam semakan akhir

Norazlan berkata, TUDM kini berada di peringkat semakan akhir bagi pemerolehan sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD), yang penting bagi melengkapkan sistem pertahanan udara berlapis negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Pemerolehan sistem MERAD adalah kritikal untuk melengkapkan payung pertahanan udara negara. Ia berfungsi sebagai lapisan perlindungan yang mengisi jurang antara sistem pertahanan udara jarak dekat dan kemampuan operasi pesawat pejuang kita,” katanya.

 

Pangkalan Udara Kuantan merupakan sebahagian daripada aset strategik Tentera Udara Diraja Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan udara negara. - DagangNews.com