KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan menegaskan pelaksanaan prinsip “bayar dahulu” di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 bukanlah suatu peruntukan baharu, sebaliknya telah dikuatkuasakan sejak tahun 1968 bagi memastikan keteraturan kutipan hasil negara.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, peruntukan tersebut merupakan amalan percukaian antarabangsa yang turut diguna pakai oleh pentadbir cukai di pelbagai negara serta telah diiktiraf menerusi beberapa keputusan mahkamah termasuk kes Sun Man Tobacco Co Ltd lwn Kerajaan Malaysia dan Public Prosecutor lwn Choo Swee Huat.
Beliau berkata, walaupun pembayar cukai diwajibkan menjelaskan taksiran yang dikenakan dalam tempoh ditetapkan tanpa mengambil kira status rayuan, hak mereka untuk mengemukakan rayuan selepas pembayaran dibuat tetap terpelihara di sisi undang-undang.
“Konsep bayar dahulu ini tidak beroperasi secara bersendirian, sebaliknya diselaraskan dengan kemudahan bayaran ansuran, peruntukan bayaran balik dan pengenaan faedah bagi memastikan sebarang lebihan bayaran dapat dikembalikan kepada pembayar cukai yang layak,” katanya dalam sidang kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai dakwaan ketidakseimbangan prinsip “Bayar Dahulu, Cabar Kemudian” di bawah Seksyen 103, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan implikasi terhadap keadilan pembayar cukai.
Chin Tong berkata, sekiranya prinsip 'bayar dahulu' tidak dilaksanakan, ia berpotensi mewujudkan ruang kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi proses rayuan semata-mata bagi melengahkan pembayaran cukai tanpa alasan yang kukuh.
Persepsi Tidak Tepat
Katanya, berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), daripada 6.12 juta Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang diterima pada tahun 2025, hanya 606 kes melibatkan rayuan cukai.
Daripada jumlah itu, sebanyak 148 kes telah diselesaikan oleh Jabatan Resolusi Percukaian manakala 458 kes lagi didaftarkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP).
“Bilangan kes rayuan tersebut mewakili kurang daripada 0.01% atau sekitar 0.0098% daripada keseluruhan pembayar cukai.
“Sehubungan itu, persepsi bahawa Seksyen 103 memberikan kuasa yang terlalu besar kepada LHDN dan memberi tekanan kepada pembayar cukai adalah tidak tepat,” katanya.
Chin Tong berkata, peruntukan tersebut tidak bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan menjamin kutipan hasil negara yang konsisten bagi membiayai agenda pembangunan serta memastikan keadilan kepada pembayar cukai yang memenuhi tanggungjawab mereka tepat pada masanya.
"Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan akan terus menambah baik aspek tadbir urus dan proses semakan dalaman bagi memastikan setiap taksiran cukai yang dikeluarkan adalah adil, telus dan tidak menjejaskan kebajikan pembayar cukai," katanya. - DagangNews.com








