KUALA LUMPUR 22 Jun — LKL International Berhad melaksanakan pengurangan modal yang berjumlah RM120 juta selepas menerima pengesahan dari Pendaftar Syarikat menerusi notis bertarikh 10 Jun 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, usaha berkenaan dapat dilakukan setelah pihak terbabit mengesahkan yang kesemua keperluan di bawah Akta Syarikat 2016 sudah dipenuhi.
Jelasnya lagi, notis berkenaan diterima pada 22 Jun 2026 yang turut memaklumkan bahawa semua syarat berkaitan dengan cadangan pengurangan modal syarikat berkenaan didapati telah dipatuhi sepenuhnya.
"Sehubungan itu, pengurangan modal tersebut berkuat kuasa mulai 10 Jun 2026 selaras dengan Seksyen 119(4) Akta Syarikat 2016," tambah LKL International yang merupakan syarikat penjagaan kesihatan.
Langkah tersebut ujarnya, dilaksanakan susulan resolusi khas yang diluluskan pemegang saham pada 25 Mac 2026. Syarikat tempatan ini ditubuhkan sejak 1993 dan beribu pejabat di Seri Kembangan, Selangor.
Selepas pelaksanaan usaha pengurangan modal berkenaan, modal saham terbitan kumpulan berkenaan kini hanya berjumlah kira-kira RM113.48 juta yang terdiri daripada sebanyak 388.08 juta saham sahaja.
Sebelum ini, syarikat itu mengumumkan cadangan pengurangan modal tersebut sekitar Januari 2026 sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan modal sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada 2016.
LKL International berkata, notis dikeluarkan oleh Pendaftar Syarikat itu merupakan bukti muktamad semua keperluan statutori berhubung pelaksanaan pengurangan modal sudah dipenuhi. - DagangNews.com








