TNB-Universiti Malaya jalin kerjasama sistem penyejukan di Wisma R&D, jimat kos sehingga 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB-Universiti Malaya jalin kerjasama sistem penyejukan di Wisma R&D, jimat kos sehingga 30%

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (dua dari kiri), dan Pengerusi UM, Tan Sri Zarinah Anwar (dua dari kanan), menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (kiri), dan Naib Canselor UM, Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman (kanan)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Malaya (UM) memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Penyejukan (CESA) bagi memodenkan infrastruktur penyejukan di Wisma R&D UM dalam usaha memperkukuh agenda kampus lestari dan kecekapan tenaga.

 

Perjanjian itu dimeterai antara TNB dan UM melalui anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) yang akan menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan infrastruktur tenaga penyejukan berpusat.

 

Melalui kerjasama ini, TNEC akan membekalkan tenaga penyejukan kepada Wisma R&D UM daripada loji Sistem Penyejukan Daerah (DCS) milik TNEC yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

 

Sistem penyejukan daerah itu berfungsi sebagai sistem penyaman udara berpusat berskala besar yang menyalurkan tenaga sejuk ke bangunan terlibat, menggantikan sistem penyejukan konvensional di setiap bangunan.

 

Perjanjian tersebut dilaksanakan di bawah konsesi selama 20 tahun, sekali gus menjadikan TNEC sebagai penyedia perkhidmatan utama bagi operasi dan bekalan tenaga penyejukan sepanjang tempoh berkenaan.

 

Menurut TNB, pelaksanaan sistem ini dijangka dapat mengurangkan kos berkaitan penyejukan sehingga kira-kira 30 peratus, dengan penjimatan keseluruhan dianggarkan sekitar RM7.59 juta sepanjang tempoh konsesi.

 

“Selain penjimatan kos, sistem berpusat itu turut menawarkan kelebihan dari segi kestabilan operasi, kecekapan tenaga yang lebih tinggi serta prestasi penyejukan yang lebih konsisten berbanding sistem lama,” katanya.

 

t

 

Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad serta Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

 

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi UM, Tan Sri Zarinah Anwar.

 

Sementara itu, Ir. Ts. Shamsul berkata, kerjasama itu mencerminkan peranan penting sistem penyejukan daerah sebagai penyelesaian infrastruktur bandar yang lebih cekap tenaga.

 

Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tenaga, malah menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur moden di institusi pendidikan tinggi.

 

"Ia membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga dan menyokong kelestarian alam sekitar. Kami berharap kerjasama dengan UM ini dapat diperkukuh, sekali gus menyokong aspirasi UM untuk membangunkan ekosistem kampus yang lebih lestari dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

 

t

 

Sementara itu, Ir. Dr. Noor Azuan menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah penting dalam usaha universiti itu memodenkan kemudahan kampus serta memperkukuh agenda kelestarian jangka panjang.

 

Beliau berkata, penggunaan penyelesaian tenaga inovatif seperti sistem penyejukan daerah sejajar dengan aspirasi UM sebagai universiti penyelidikan yang memberi penekanan kepada kelestarian dan kecekapan sumber.

 

Wisma R&D UM dipilih sebagai projek pelaksanaan pertama memandangkan sistem penyejukan sedia ada telah beroperasi lebih 25 tahun dan kini menghampiri penghujung kitaran hayat ekonominya.

 

Selain projek awal ini, kerjasama tersebut juga membuka ruang kepada potensi peluasan penggunaan sistem penyejukan daerah di kampus utama UM, pembangunan kampus baharu serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada masa hadapan.

 

Secara keseluruhan, inisiatif ini dijangka menyokong agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) melalui penggunaan tenaga yang lebih cekap, pengurangan impak alam sekitar serta pengukuhan infrastruktur lestari di institusi pengajian tinggi negara. - DagangNews.com