KUALA LUMPUR 22 Jun - ICT Zone Asia Berhad melalui anak syarikat milik penuh kumpulan, ICT Zone Ventures Berhad menerima pesanan pembelian bernilai kira-kira RM28.1 juta bagi perkhidmatan pajakan perkakasan ICT selama 36 bulan daripada MRA International Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkata, kontrak yang diterima pada 19 Jun 2026 melibatkan pajakan perkakasan ICT perusahaan termasuk komputer meja, komputer riba, pencetak dan pengimbas untuk digunakan oleh sebuah agensi kerajaan.
Tempoh kontrak selama 36 bulan itu akan bermula pada tarikh yang dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak, dengan skop kerja terhad kepada pajakan perkakasan ICT sahaja tanpa melibatkan perkhidmatan ICT.
Menurut kumpulan, pesanan tersebut dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan sesaham (EPS) serta aset bersih sesaham (NAPS) sepanjang tempoh kontrak.
Susulan penganugerahan itu, buku pesanan belum dibil ICT Zone meningkat kepada RM321.1 juta, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi tempoh tiga tahun akan datang.
“Pesanan ini menyumbang kepada pengukuhan momentum pertumbuhan segmen TechFin kami yang menjadi teras strategi jangka panjang kumpulan,” kata syarikat itu.
Syarikat turut berkata model perniagaan pembiayaan teknologi membolehkan pelanggan sektor awam dan swasta mendapatkan akses kepada teknologi perusahaan melalui struktur perbelanjaan operasi (OPEX) berbanding perbelanjaan modal (CAPEX), sekali gus meningkatkan kecekapan aliran tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif ICT Zone Asia Berhad, Tommy Lim Kok Kwang, berkata trend penggunaan teknologi secara langganan semakin berkembang dalam kalangan organisasi.
“Ini adalah jenis perniagaan yang kami mahukan — berulang, berasaskan kontrak dan berjalan untuk beberapa tahun. Peralihan kepada model langganan teknologi kini semakin jelas dalam sektor awam dan korporat,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan akan terus memastikan setiap aset teknologi diurus sepanjang kitar hayatnya bagi memaksimumkan nilai kepada pelanggan. - DagangNews.com








