Titijaya Land cadang beli tanah RM47.3 juta di Bukit Raja, kukuhkan simpanan tanah di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Titijaya Land cadang beli tanah RM47.3 juta di Bukit Raja, kukuhkan simpanan tanah di Lembah Klang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Titijaya Land Berhad mengumumkan cadangan pengambilalihan sebidang tanah di Bukit Raja, Selangor bernilai RM47.3 juta sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan simpanan tanah kumpulan di lokasi strategik Lembah Klang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengambilalihan tersebut melibatkan tanah seluas kira-kira 6.071 hektar yang terletak di Bukit Raja, iaitu kawasan pembangunan pesat yang berada di antara Klang dan Shah Alam.

 

“Urus niaga ini dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung kumpulan, Titijaya Makmur Sdn Bhd yang telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Jasa Cendana Sdn Bhd sebagai penjual,” katanya dalam makluman itu.

 

Bagaimanapun, syarikat tidak memperincikan sama ada tanah tersebut merupakan tanah kosong, tanah pertanian atau mempunyai status pembangunan tertentu, yang lazimnya menjadi faktor penting dalam menentukan nilai pembangunan masa hadapan.

 

Cadangan pembelian ini bertujuan untuk menambah dan mengukuhkan simpanan tanah kumpulan, bagi menyokong pelan pembangunan jangka panjang di kawasan-kawasan strategik di Malaysia.

 

Bukit Raja dilihat sebagai lokasi yang semakin mendapat perhatian berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Klang, Shah Alam, Setia Alam, Pelabuhan Klang serta akses mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Selain itu, Titijaya berkata pembangunan infrastruktur utama seperti Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Klang ke Bandar Utama dijangka meningkatkan lagi daya tarikan kawasan tersebut, khususnya di stesen Bukit Raja Selatan yang dijangka beroperasi penuh tidak lama lagi.

 

t
Lim Poh Yit

 

“Pertumbuhan pesat aktiviti logistik dan perindustrian di sekitar kawasan berkenaan turut menjadi pemangkin kepada peningkatan permintaan bagi hartanah kediaman dan komersial.

 

“Harga pembelian tanah itu dipersetujui berdasarkan asas  persetujuan bersama selepas mengambil kira faktor lokasi strategik serta nilai pasaran semasa hartanah sekitarnya,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata pengambilalihan ini akan memperkukuh kehadiran kumpulan di Bukit Raja dan seterusnya menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

Beliau berkata, setakat akhir tahun kewangan 2025 (FY2025), kumpulan mempunyai simpanan tanah dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7 bilion merentasi Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sabah.

 

Menurut beliau, pengambilalihan ini akan memberi lebih banyak peluang pembangunan masa hadapan serta menyokong perancangan projek kumpulan dalam jangka sederhana dan panjang.

 

“Strategi pengembangan simpanan tanah adalah penting bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan yang berdaya saing di lokasi utama negara.

 

“Dalam masa sama, kumpulan mengekalkan fokus terhadap pembangunan hartanah berkonsep gaya hidup bandar yang merangkumi projek kediaman bertingkat tinggi, komersial, SoHo serta pembangunan bercampur,” katanya. - DagangNews.com