Potensi harga saham Powerwell semakin terhad, Malacca Securities turun syor kepada 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi harga saham Powerwell semakin terhad, Malacca Securities turun syor kepada 'pegang'

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 Jun — Walaupun berjaya meraih kontrak pusat data (DC) terbesar dalam sejarah yang bernilai RM158.8 juta, Malacca Securities menilai semula penarafan saham Powerwell Holdings Berhad.

 

Firma penyelidikan tersebut menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'beli' berikutan potensi kenaikan harga saham yang semakin mengecil dan terhad selepas lonjakan ketara harga saham kebelakangan ini.

 

Di samping itu, ia turut menyemak turun harga sasaran (TP) sesaham kumpulan berkenaan untuk tempoh 12 bulan kepada 91 sen berbanding 93 sen sebelum ini susulan semakan semula unjuran pendapatan.

 

"Kontrak baharu diperoleh anak syarikat Powerwell, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd, yang melibatkan pembekalan papan suis voltan rendah bagi sebuah projek DC di Johor," kata Malacca Securities.

 

Kerja yang dijangka siap menjelang Mac 2027 itu merupakan tender terbesar pernah diraih, mengatasi projek semikonduktor bernilai RM94.1 juta dan kontrak DC RM68.5 juta yang diperoleh sebelum ini.

 

Secara keseluruhannya, kontrak terbaharu berkenaan dinilai adalah positif dan mengukuhkan lagi prospek pertumbuhan kumpulan itu, selain meningkatkan lagi keterlihatan pendapatan sehingga FY27.

 

Kesan kontrak namun dilihat secara umum sudah diambil kira dalam jangkaan sebelum ini, memandangkan andaian terdahulu memasukkan pengisian semula tempahan yang sihat daripada peluang berkaitan DC.

 


Powerwell_DagangNews2026

 

"Dengan kontrak baharu itu, buku tempahan proforma Powerwell turut meningkat kepada kira-kira RM309.6 juta berbanding RM150.8 juta pada akhir FY26," jelas Malacca Securities dalam analisisnya.

 

Kontrak berkenaan ujarnya, turut mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai proksi hiliran sektor DC, khususnya dalam segmen bekalan papan suis voltan rendah bagi infrastruktur pengagihan tenaga.

 

Selain itu kata firma penyelidikan tersebut, status pelanggan berulang bagi kontrak mencerminkan rekod pelaksanaan projek yang baik serta tahap keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat.

 

Bagaimanapun, Malacca Securities mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pengiktirafan hasil dengan menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras FY27 kepada RM28.9 juta daripada RM40.5 juta.

 

"Kami masih positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Powerwell, namun kenaikan harga saham baru-baru ini sudah mengehadkan potensi kenaikan kepada TP yang baharu," tambahnya.

 

Ia turut memperkenalkan unjuran keuntungan bersih FY28 sebanyak RM33.5 juta, mengambil kira profil pengiktirafan pendapatan yang berperingkat berdasarkan pencapaian projek dan penerimaan pelanggan.

 

Antara risiko utama boleh menjejaskan penarafan itu termasuk pengisian semula kontrak yang perlahan daripada jangkaan, kelewatan pelaksanaan projek serta turun naik pertukaran asing. - DagangNews.com