Hap Seng Consolidated bubarkan secara sukarela anak syarikat pembinaan ditubuhkan pada 2018 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hap Seng Consolidated bubarkan secara sukarela anak syarikat pembinaan ditubuhkan pada 2018

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 JunHap Seng Consolidated Berhad (HSCB) membubarkan secara sukarela anak syarikat miliknya tidak aktif yang pernah terlibat dalam aktiviti pembinaan, Positive Tropical Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan konglomerat tersebut berkata, subsidiari berkenaan sudah berjaya dikeluarkan daripada senarai daftar syarikat yang berkuat kuasa 25 Mei 2026.

 

Menurut kumpulan itu lagi, status pembubaran tersebut kemudian disahkan susulan penerbitan status permohonan penghapusan nama syarikat di laman web rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

"Positive Tropical ditubuhkan pada 30 Januari 2018 sebagai sebuah syarikat bertaraf sendirian berhad di Malaysia dan pernah menjalankan aktiviti utama dalam sektor pembinaan," jelas kenyataan HSCB.

 

Bagaimanapun ujarnya, syarikat berkenaan menjadi tidak aktif sejak 31 Oktober 2025. Ia merupakan anak syarikat milik penuh Hap Seng Land Development Sdn Bhd, yang juga subsidiari di bawah kumpulan itu.

 

Sebelum pembubaran rasmi syarikat itu tambah kenyataan berkenaan, Positive Tropical mempunyai modal saham terbitan yang hanya berjumlah sebanyak RM1 dan cuma terdiri daripada satu saham biasa.

 

HSCB berkata, pembubaran anak syarikat tersebut tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2026.

 

"Setakat pengetahuan lembaga pengarah, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan ada sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pembubaran tersebut," katanya.

 

Langkah rasionalisasi itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan untuk menyusun semula struktur korporat dengan menamatkan entiti yang tidak lagi aktif dalam operasinya. - DagangNews.com