TEKUN sasar lulus pembiayaan bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam - Steven Sim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TEKUN sasar lulus pembiayaan bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam - Steven Sim

KUALA LUMPUR 22 Jun - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan di bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

 

Beliau berkata, sasaran kelulusan pantas itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperoleh modal kerja dengan segera.

 

“Kami kini sedang melaksanakan projek perintis (bagi kelulusan pembiayaan di bawah RM20,000) dan menyasarkan untuk melancarkannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

 

“Kami mahu menawarkan tempoh pemprosesan selama 24 jam bagi memudahkan PMKS supaya perniagaan kecil ini tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Morten Walk semalam.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha kementerian, Khairul Dzaimee Daud; serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

 

Pada majlis tersebut, kementerian turut melancarkan Portal TEKUN Nasional, sebuah platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, mengemukakan permohonan secara dalam talian, mengakses maklumat program dan latihan keusahawanan serta mencari lokasi pejabat TEKUN Nasional di seluruh negara.

 

Sementara itu, kementerian dalam satu kenyataan memaklumkan permohonan pembiayaan TEKUN Nasional sehingga RM100,000 kini diproses dan diluluskan dalam tempoh tujuh hari.

 

Selain itu, SME Bank dan Bank Rakyat turut komited untuk memproses dan meluluskan pembiayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh 14 hari.

 

Sehingga 31 Mei lalu, kementerian telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka menerusi pelbagai agensinya.

 

Di peringkat nasional pula, sehingga tarikh yang sama, kementerian telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.

 

Menurut kenyataan itu, kementerian menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada PMKS di seluruh negara tahun ini menerusi inisiatif PowerUp10k. - BERNAMA