Sarawak bincang cadangan Dewan Perniagaan Borneo dengan Indonesia, perkukuh hubungan perdagangan serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak bincang cadangan Dewan Perniagaan Borneo dengan Indonesia, perkukuh hubungan perdagangan serantau

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jun - Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Indonesia berhubung cadangan penubuhan Dewan Perniagaan Borneo yang dilihat mampu memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Sarawak, Sabah serta Kalimantan.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, cadangan tersebut dikemukakan oleh Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) bagi mewujudkan platform kerjasama ekonomi yang lebih tersusun antara wilayah-wilayah di Pulau Borneo.

 

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan pertumbuhan perdagangan rentas sempadan yang semakin berkembang dan berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan di rantau berkenaan.

 

“Ini merupakan hala tuju yang baik kerana jumlah perdagangan sememangnya sudah wujud.

 

“Mereka akan datang ke sini untuk membincangkan cadangan tersebut bersama kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Sarawak juga akan membuka pejabat perdagangan dan pelancongan di Pontianak, Kalimantan Barat dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan ekonomi dengan wilayah tersebut.

 

Beliau berkata, pejabat itu akan berfungsi sebagai hab untuk meningkatkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan pelancongan, sama seperti pejabat yang telah ditubuhkan di Singapura dan Brunei sebelum ini.

 

“Kita sudah mempunyai hubungan yang baik dalam bidang perniagaan dan penjagaan kesihatan.

 

“Sekiranya hubungan ini terus berkembang, kita mungkin mempertimbangkan untuk membuka sebuah bank di sana bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan,” katanya.

 

Menurut beliau, pembukaan pejabat tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi rentas sempadan, terutama dalam sektor perdagangan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan.

 

Sementara itu, Abang Johari berkata, Pusat Kebudayaan Bidayuh yang baharu siap dibina berpotensi menjadi mercu tanda pelancongan dan pusat aktiviti kebudayaan di Bau.

 

Beliau berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan sebagai platform mempromosikan budaya, muzik dan kraftangan masyarakat Bidayuh kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. - DagangNews.com