Prospek MR DIY kukuh didorong kenaikan gaji minimum, penjawat awam - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MR DIY kukuh didorong kenaikan gaji minimum, penjawat awam - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Mac — MR DIY Group (M) Berhad diunjur mampu mencatatkan pertumbuhan kukuh sepanjang tahun ini susulan kelebihan faktor kenaikan gaji penjawat awam dan swasta bagi golongan yang berpendapatan rendah serta cenderung untuk berbelanja lebih.
 

RHB Research berkata, situasi itu menyaksikan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna dengan meramalkan MR DIY boleh merekodkan margin untung kasar (GPM) pada FY25 naik 46 hingga 48 peratus berbanding 46.7 peratus pada FY24.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, pelancaran fasa kedua kempen kerjasama tempatan MR DIY merupakan inisiatif terbaik syarikat tersebut untuk boleh memudahkan pertumbuhan jumlah pasaran yang boleh ditanganinya disokong oleh pelancaran pelbagai promosi baharu.
 

"Justeru, MR DIY berada dalam keadaan kukuh dengan harga sasaran (TP) sesaham diunjurkan mampu mencecah kepada RM1.87 daripada hanya RM1.30 pada ketika ini dan dijangka boleh lagi tumbuh positif sebanyak 34 peratus," katanya dalam satu nota kajian.
 

MR DIY kata RHB Research, memulakan kempen 'beli tempatan, sokong tempatan' bertemakan 'Bersama Satu Beli Lokal 2024' pada 4Q24, dengan bekerjasama melibatkan sejumlah 13 jenama tempatan untuk menawarkan kepelbagaian produk kecantikan dan kesihatan kepada pengguna.
 

Sambutan yang menggalakkan terhadap kempen tersebut katanya, telah mendorong MR DIY untuk meneruskan inisiatif dengan melancarkan kempen terbaharu 'Berseri-Seri Tempatan', yang bermula pada bulan ini serta menampilkan lebih banyak jenama dan produk domestik.
 

Situasi kali ini turut menyaksikan Mr DIY menyediakan 260 unit simpanan stok (SKU) dalam pusingan berbanding hanya 130 SKU ketika berlangsung kempen terakhir yang ditawarkan di sejumlah lebih 50 buah kedai terpilihnya di seluruh negara.
 

"Kempen-kempen itu ternyata berkesan apabila Mr DIY dapat mengembangkan jumlah pasaran yang boleh ditangani dengan lebih menarik kepada ramai pengguna wanita tempatan dan dalam kalangan Gen-Z melalui penawaran produk yang dinyatakan," jelas RHB Research.
 

Langkah berterusan itu juga katanya, berfungsi sebagai penyegar semula yang tepat pada masanya kepada barisan produk dan potensi pemacu saiz bakul pembelian purata yang lebih tinggi kerana ia kelihatan untuk menahan aliran hambar direkodkan dalam dua tahun lepas.
 

Pendekatan pemasaran media sosial Mr DIY dengan turut menampilkan beberapa pempengaruh yang menarik atau pemimpin tertentu, telah dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mempromosikan segala kempen di sebalik komitmen pelaburan Mr DIY yang cukup minimum.
 

Di samping itu kata firma tersebut, kebanyakan rakan kongsi tempatan Mr DIY akan terus berusaha membina jenama masing-masing, setelah mewujudkan ekuiti jenama dan pengikut mereka, terutamanya melalui platform dalam talian.
 

Jangkaan itu berdasarkan kadar tukaran mata wang asing yang menggalakkan dan sepatutnya menyediakan penampan yang baik untuk Mr DIY menjadi lebih agresif dengan promosi pemasaran dan menampan kenaikan perbelanjaan operasi.
 

Sementara itu, firma tersebut optimis dengan mengekalkan saranan 'beli' susulan pengembangan jenama baharu, termasuk KKV dan Colorist, selain perancangan Mr DIY meningkatkan pembukaan cawangan kepada lebih 30 kedai berbanding 10 kedai tahun lalu. - DagangNews.com