KUALA LUMPUR 5 Mei – MBSB Research mengekalkan penarafan Neutral ke atas Fraser & Neave Holdings Berhad susulan prospek jangka pendek yang masih mencabar walaupun kumpulan itu terus disokong oleh pemacu pertumbuhan jangka sederhana dan panjang yang kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata harga sasaran tidak berubah pada RM28.43, berbanding harga semasa sekitar RM30.02 yang mencerminkan jangkaan pulangan negatif kecil dalam tempoh terdekat walaupun masih disokong oleh dividen.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, prestasi F&N menunjukkan perbezaan ketara antara pasaran domestik dan serantau, dengan operasi Malaysia kekal stabil manakala Indochina terus lemah.
Segmen makanan dan minuman (F&B) Malaysia mencatatkan penurunan kecil 1% tahun ke tahun kepada RM773.5 juta, disokong oleh permintaan stabil bagi produk teras seperti minuman berkarbonat dan tenusu.
Sebaliknya, segmen F&B Thailand dan Indochina merosot 16.9% kepada RM458.2 juta, terkesan oleh gangguan berpanjangan di sempadan Thailand–Kemboja serta kelemahan permintaan serantau.
MBSB Research berkata, pembukaan kilang F&N di Kemboja dalam tempoh satu hingga dua suku tahun akan datang dijangka membantu strategi pengeluaran tempatan yang akan mengurangkan kos logistik dan kebergantungan terhadap eksport dari Malaysia.
“Namun, pemulihan penuh pasaran Kemboja dijangka mengambil masa sekitar dua tahun, menjadikan segmen ini masih dalam fasa pemulihan berperingkat.
“Dari segi kos, kumpulan berdepan tekanan inflasi meluas melibatkan bahan mentah seperti gula, susu tepung skim, minyak sawit, resin plastik, aluminium, karton serta kos tenaga dan logistik.
“Kos produk boleh meningkat hampir 10% sekiranya tiada langkah mitigasi, namun F&N sedang melaksanakan pelbagai langkah seperti mengoptimumkan rantaian bekalan, kecekapan operasi, pengurusan kos serta pelarasan harga secara terpilih,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Syarikat itu juga mengambil langkah lebih berhati-hati dalam menaikkan harga dengan sebarang pelarasan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan tekanan terhadap permintaan pengguna yang masih lemah.
Produk berasaskan plastik antara kategori awal yang terkesan kenaikan harga, manakala produk dalam tin dijangka menyusul kemudian apabila tekanan kos semakin ketara.
Secara sejarah, F&N sebelum ini hanya menaikkan harga kurang daripada 3% semasa lonjakan kos selepas pandemik COVID-19, tanpa memberi impak besar kepada volum jualan, sekali gus menunjukkan adanya kuasa penetapan harga dalam portfolio kumpulan.
Dari sudut kewangan, MBSB Research menyatakan aliran tunai F&N kekal kukuh dengan kedudukan kunci kira-kira yang stabil. Kumpulan juga mengekalkan pembayaran dividen interim pertama sebanyak 30 sen.
Pengurusan turut memberi tumpuan kepada pengurangan hutang dan kos faedah, terutamanya selepas sebahagian besar perbelanjaan modal utama telah disiapkan yang membolehkan fokus diberikan kepada pengukuhan kunci kira-kira.

Salah satu pemacu utama jangka panjang kumpulan ialah projek F&N AgriValley yang bertujuan membangunkan ekosistem tenusu bersepadu di Malaysia.
Ketika ini, susu segar masih menyumbang bahagian kecil dalam portfolio F&N, dengan 100PLUS kekal sebagai produk terbesar, diikuti jenama Seasons, manakala Magnolia masih dalam fasa pengembangan.
Namun, MBSB Research berkata potensi Magnolia sebagai jenama susu segar UHT semakin meningkat dengan bahagian pasaran yang telah berganda berbanding tahun sebelumnya.
AgriValley kini mempunyai lebih 8,000 ekor ternakan, lebih 3,000 lembu laktasi dan menghasilkan lebih 2 juta liter susu sebulan dengan purata lebih 25 liter seekor sehari. Sasaran jangka panjang adalah untuk mencapai 20,000 ekor lembu.
Kemudahan pemprosesan di Gemas mempunyai kapasiti sekitar 50 juta karton setahun dan dilengkapi sistem automasi serta ruang pengembangan masa depan.
Dari segi kualiti, susu yang dihasilkan menunjukkan piawaian tinggi dengan kandungan lemak melebihi 4%, protein melebihi 3.2% serta tahap kebersihan (SCC dan TBC) yang lebih baik daripada piawaian global.
Model AgriValley turut berasaskan konsep ladang mampan dengan penggunaan sistem pengairan pintar, baja organik, biochar serta tanaman makanan ternakan seperti sorghum dan jagung.
Kumpulan menyasarkan pengeluaran sehingga 50,000 tan makanan ternakan menjelang 2026, dengan sasaran mengurangkan kebergantungan kepada makanan import secara ketara dalam jangka panjang.
Selain itu, penggunaan biodigester dijangka menghasilkan tenaga biogas yang mampu menampung sebahagian keperluan tenaga ladang serta menghasilkan baja organik daripada sisa ternakan.
Pengurusan juga menyasarkan kos makanan ternakan dapat dikurangkan sehingga 50% melalui penggunaan sumber dalaman apabila skala operasi diperluaskan.
Dalam aspek penternakan, F&N menggunakan baka Holstein dengan sasaran pembiakan dalaman sehingga 95% disokong sistem inseminasi buatan (pembiakan) bagi meningkatkan kualiti genetik.
Operasi ladang turut dilengkapi sistem pemantauan digital, kawalan biosekuriti ketat serta sistem penyejukan khas bagi mengurangkan tekanan haba terhadap ternakan.
Secara keseluruhan, MBSB Research berpendapat F&N berada dalam fasa peralihan, dengan tekanan jangka pendek masih wujud akibat kos tinggi dan prestasi Indochina yang lemah, namun asas perniagaan kekal kukuh disokong aliran tunai stabil serta portfolio jenama defensif.
Dalam jangka sederhana, pemulihan Indochina, strategi di Kemboja serta pembangunan AgriValley dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan, walaupun pemangkin kenaikan semula penilaian saham masih terhad dalam masa terdekat. - DagangNews.com








