Prospek Inari masih lemah disebabkan hasil jualan susut, PublicInvest kekal saranan 'neutral’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Inari masih lemah disebabkan hasil jualan susut, PublicInvest kekal saranan 'neutral’

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 DisPublic Investment Bank melihat prospek berhati-hati untuk Inari Amertron Berhad susulan tekanan dalam segmen frekuensi radio (RF), meskipun ada pemulihan suku ke suku.


Berdasarkan situasi itu, firma penyelidikan tersebut menurunkan harga sasaran kepada RM2.01 daripada RM2.29, berasaskan penilaian pendapatan kumpulan, sambil mengekalkan saranan 'neutral.


Menurutnya, prestasi produk RF iaitu penyumbang utama pendapatan Inari, terjejas selepas pelanggan utama beralih pula daripada penapis jalur rendah dan sederhana kepada penapis yang jenis premium.


"Ia menyebabkan kejatuhan 8% hasil RF. Peralihan ini didakwa memberi kelebihan kepada pesaing dari Taiwan, ASE, yang dipercayai mengambil sebahagian besar kerja tersebut," kata nota PublicInvest.


Akibat perubahan itu jelas firma berkenaan, kadar penggunaan kapasiti RF didapati susut kepada 65% berbanding lebih 80% ketika fasa peningkatan pengeluaran pelbagai produk telefon pintar baharu. 


Walaupun begitu, ia menjangka jualan RF lebih kukuh pada suku berikutnya, seiring peningkatan permintaan telefon pintar di seluruh dunia serta dipengaruhi isu penggabungan Skyworks–Qorvo.


Langkah itu jelas PublicInvest, yang dijangka dimuktamadkan menjelang 2027, berpotensi mengubah kandungan modul RF pada peranti Apple dan ini membuka ruang lebih besar kepada Broadcom.


"Ketika ini, syarikat berkenaan menguasai sekitar 60% pasaran modul jalur sederhana dan tinggi Apple melalui teknologi penapis getaran akustik frekuensi tinggi dalam modul RF," tambahnya.


Perubahan ini kata firma penyelidikan tersebut, boleh menguntungkan Inari dalam kitaran telefon pintar premium yang seterusnya, apabila jumlah pemain pasaran berkurang kepada hanya dua syarikat.


Kumpulan itu jelas PublicInvest, sedang membangunkan modul RF lebih kompleks dan dijangka dapat menembusi lebih banyak perkhidmatan ujian RF di bawah penyusunan semula industri telekomunikasi.


Selain itu, Inari menggandakan kapasiti fabrikasi cip P13, bagi menyokong permintaan kukuh daripada alat penerima gentian optik, selaras dengan peralihan industri daripada 400G kepada 800G.


"Perkembangan positif ini didorong penggunaan rangkaian optik dalam pusat data dijana kecerdasan buatan (AI), namun segmen memori pula mencatat prestasi lemah akibat kekurangan cip," tambahnya.


Justeru kata PublicInvest, ia bekerjasama dengan sebuah firma Amerika Syarikat untuk menjadi pembekal tunggal bagi produk memori tahap rendah, sebelum meneroka lebih banyak produk baharu.


Bagaimanapun jelasnya, di sebalik prospek positif dalam fotonik dan peluang baharu modul RF premium, kelemahan jangka pendek segmen RF terus mengekang pertumbuhan Inari. - DagangNews.com