Prospek IGB REIT dijangka melonjak setelah ambil alih Mid Valley Southkey Mall, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek IGB REIT dijangka melonjak setelah ambil alih Mid Valley Southkey Mall, kata penganalisis

Foto Facebook Mid Valley Southkey
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Langkah IGB Real Estate Investment Trust (REIT) mengambil alih Mid Valley Southkey Mall di Johor dijangka melonjakkan prospek pertumbuhan syarikat itu, kata penganalisis.


Sekurang-kurangnya empat firma penyelidikan meningkatkan saranan kepada ‘beli’ selepas menaikkan ramalan dan harga sasaran masing-masing susulan pembelian hartanah itu pada nilai RM2.65 bilion.


Mereka turut menilai unjuran pendapatan daripada pusat beli-belah di Johor Bahru itu, yang kali  pertama dilaksanakan IGB REIT di luar pasaran Lembah Klang sebagai pendekatan lebih matang.


"Urus niaga itu adalah baik berdasarkan prospek hasil dan dividen, disokong kadar penghunian yang sihat, jejak kukuh dan lokasi baik," kata Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam notanya.


Firma penyelidikan tersebut turut menaikkan saranannya daripada 'pegang' kepada 'beli' terhadap syarikat berkenaan dengan berdasarkan potensi dalam pembangunan bersepadu Southkey selepas ini.


Semalam, IGB REIT menerusi MTrustee Berhad memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Southkey Megamall Sdn Bhd bagi mengambil alih kompleks perniagaan setinggi lima tingkat tersebut.


Dibuka pada 2019, kawasan sewa bersihnya seluas 0.14 juta meter persegi terletak dalam kawasan komersial bercampur yang turut merangkumi dua menara pejabat dan sebuah hotel empat bintang.


"Kami turut berasa positif terhadap langkah pengambilalihan kerana kadar penghunian hampir penuh, yang dijangka meningkatkan pendapatannya serta profil kepelbagaian geografi," kata Maybank IB.


Ia juga akan membantu IGB REIT memanfaatkan pasaran Johor Bahru yang semakin berkembang dan kini mendapat manfaat daripada pelbagai projek mega antaranya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.


Bagi syarikat tersebut, kehilangan hasil dijangka minimum kerana keuntungan dihapuskan sebagai keuntungan tidak direalisasi selepas penyatuan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).


Ia memiliki keupayaan lebih dua kali ganda nilai buku bersih atau RM2.65 bilion yang membolehkan syarikat tersebut dapat memperkemaskan struktur pegangan dengan menyuntik aset ke dalam REIT.


"Selain itu, langkah berkenaan mengekalkan pemilikan majoriti berkesan dalam REIT dan menambah baik kos keseluruhan modal IGB sendiri," kata firma penyelidikan berkenaan. - DagangNews.com