KUALA LUMPUR 14 Julai - Hiap Teck Venture Berhad (HTVB) dijangka kembali mencatat prestasi lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY2026), disokong sentimen harga keluli yang semakin baik serta pemulihan jumlah jualan bagi segmen perdagangan dan pembuatan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan berkata, prestasi anak syarikat bersekutu HTVB, Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB), juga dijangka bertambah baik berikutan kenaikan harga keluli dan pemulihan penghantaran yang sebelum ini terjejas akibat faktor masa, sekali gus menyokong prospek keuntungan kumpulan pada suku semasa.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap HTVB dengan harga sasaran (TP) RM0.35, sambil berpandangan penurunan harga saham kebelakangan ini telah menjadikan penilaian syarikat lebih menarik.
"Pada harga RM0.26 sesaham, HTVB diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2026 dan FY2027 masing-masing sebanyak 3.8 kali dan 3.6 kali, iaitu sekitar 1.6 hingga 1.8 sisihan piawai di bawah purata sejarah lima tahunnya sebanyak 5.9 kali," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026), sumbangan keuntungan teras ESSB kepada HTVB susut 23.8% suku ke suku (QoQ) kepada RM28.3 juta selepas mengambil kira pelarasan item bukan teras dan bukan tunai seperti kerugian terjemahan pertukaran asing belum direalisasi serta liabiliti cukai tertunda.
Prestasi lebih lemah itu didorong oleh penyusutan 8.2% dalam jumlah jualan yang sebahagian besarnya berpunca daripada perbezaan masa penghantaran, namun impaknya berjaya diimbangi sebahagiannya oleh margin lebih tinggi hasil peningkatan harga jualan keluli.
Susulan itu, pendapatan teras HTVB turut merosot 13.3% berbanding suku sebelumnya, walaupun penurunan tersebut sedikit sebanyak dikurangkan oleh kerugian yang lebih rendah dalam segmen perdagangan.
Penurunan Bersifat Sementara
Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyifatkan kelemahan berkenaan hanya bersifat sementara kerana berkait rapat dengan faktor masa penghantaran dan bukannya kelemahan asas operasi syarikat.
Dalam perkembangan lain, penutupan Selat Hormuz didapati tidak memberi kesan ketara terhadap operasi eksport ESSB apabila penghantaran ke pasaran utama seperti Turkiye dan Itali terus berjalan lancar.
Kedua-dua negara itu menyumbang lebih 50% daripada jumlah jualan ESSB pada suku berkenaan, memandangkan penghantaran eksport syarikat menggunakan laluan Laut Merah dan tidak melalui Selat Hormuz.
Pada masa sama, ESSB terus komited meningkatkan jualan domestik secara berperingkat dengan sasaran menyumbang 50% daripada keseluruhan jualan dalam tempoh sederhana.
Sebagai satu-satunya pengeluar gegelung keluli canai panas (HRC) domestik di Malaysia, ESSB dilihat berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang penggantian import selain mengukuhkan penguasaan dalam pasaran tempatan.
Firma penyelidikan itu turut memaklumkan pembangunan taman perindustrian ESSB di Kemaman, Terengganu masih berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang penghujung 2026.
Kemudahan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada strategi jangka panjang ESSB untuk meningkatkan pendedahan kepada pasaran domestik serta memperkukuh pertumbuhan operasi.
Mengambil kira prospek pemulihan yang dijangka berlaku pada suku semasa, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan HTVB dengan menjangkakan prestasi kumpulan akan kembali meningkat pada 4QFY2026, didorong oleh permintaan keluli yang lebih baik, harga jualan yang kukuh serta normalisasi penghantaran eksport. - DagangNews.com








