KUALA LUMPUR 14 Julai – Prestasi pemaju mampu kembali pulih selepas sektor hartanah mengharungi tempoh suku pertama yang lemah akibat faktor bermusim, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Ujarnya, fasa pertumbuhan lebih kukuh dijangka berlaku pada separuh kedua 2026 (2H26) apabila timbul kebimbangan terhadap impak perang di Timur Tengah dan kenaikan kos pembinaan semakin reda.
Firma itu berkata, walaupun harga diesel pernah naik lebih 124% ketika kemuncak konflik, kesannya terhadap margin keuntungan pemaju adalah terhad kerana projek dilaksanakan di bawah harga tetap.
"Selain itu, peningkatan kos bahan bakar tersebut hanya berlaku dalam tempoh singkat sebelum harga kembali jatuh susulan usaha gencatan senjata sejak pertengahan Jun 2026," jelas HLIB dalam nota.
Sehubungan itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor hartanah dengan menjangkakan pemaju kini memulakan separuh kedua tahun ini dengan 'lembaran baharu', disokong pemulihan jualan.
Sentimen sektor sebelum ini terjejas berikutan jualan lebih perlahan pada suku pertama 2026, namun kelembapan itu berpunca daripada cuti panjang perayaan utama yang mengurangkan jumlah hari bekerja.

Berdasarkan semakan HLIB bersama pemaju, momentum jualan mula naik pada suku kedua 2026, mengesahkan kelemahan hanyalah bersifat sementara dan bukan mencerminkan kemerosotan permintaan.
"Bagi segmen kediaman, kami menjangkakan pasaran mewah di Lembah Klang terus disokong minat pelabur asing, manakala permintaan di Pulau Pinang dipacu pemulihan industri semikonduktor," tambahnya.
Di Johor pula, risiko lebihan bekalan juga terhad, namun prospek keseluruhan kekal positif hasil impak Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memacu jualan kediaman dalam jangka sederhana.
Dalam segmen perindustrian ujar HLIB, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Johor terus menjadi lokasi utama pelaburan, serta trend gelombang kepesatan pembangunan pusat data (DC).
Bagi segmen komersial, segmen perhotelan dan peruncitan, selain pasaran pejabat di Lembah Klang kini dilihat memasuki fasa pemulihan susulan peningkatan kemasukan pelaburan domestik dan asing.
"Bank tanah kini menjadi aset strategik bernilai kerana pemaju boleh menjual menjana keuntungan, dan dijadikan ekuiti bagi menyertai segmen pertumbuhan baharu dengan pendapatan berulang," katanya.
Justeru HLIB Research menamakan SkyWorld Development Berhad, UEM Sunrise Berhad, OSK Holdings Berhad dan Sunway Berhad sebagai pilihan utama kitaran kenaikan baharu sektor hartanah. - DagangNews.com








