KUALA LUMPUR 18 Sept – Prospek Hartalega Holdings Berhad dilihat terus suram berikutan pelbagai cabaran berterusan yang dialami oleh syarikat berkenaan pada ketika ini, menurut RHB Research.
Firma itu berkata, ini termasuk kesukaran pemindahan kos kepada pelanggan, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), peningkatan kos operasi, serta saingan agresif dari pengeluar sarung tangan China.
Berdasarkan isu tersebut, ia mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran sesaham diturunkan kepada RM1.08 berbanding RM1.14, mencerminkan potensi penurunan sebanyak 12% dari paras semasa.
“Faktor struktur seperti tekanan harga, ketidakupayaan penyerapan kos, dan lonjakan kapasiti oleh pengeluar China menjadi halangan utama pemulihan Hartalega,” kata RHB Research dalam notanya.
Ia menambah, walaupun eksport sarung tangan getah Malaysia meningkat 64% bulan ke bulan (MoM) pada Julai 2025, sebahagian besar lonjakan tersebut sebenarnya ditujukan kepada pasaran bukan AS.
Negara-negara pengimport tersebut kata firma penyelidikan itu, menawarkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah sekitar AS$3 (kira-kira RM12.60) setiap 1,000 unit berbanding pasaran AS.
RHB Research berkata, bahagian eksport Malaysia ke AS kini hanya menyumbang 45%, jauh lebih rendah berbanding 75% pada Jun 2025, manakala volum eksport ke negara itu pula adalah kekal mendatar.
“Pasaran luar AS menyaksikan persaingan yang jauh lebih sengit, terutamanya daripada pengeluar China yang terus menurunkan harga produk untuk meraih bahagian pasaran,” jelas firma berkenaan.
Tekanan dijangka apabila fasiliti baharu milik syarikat China di Indonesia beroperasi pada Oktober 2025 dengan pengeluaran tahunan 10 bilion unit, iaitu 6% kapasiti lima pengeluar utama Malaysia.
Kilang itu menawarkan harga AS$2 (RM8.40) lebih murah per 1,000 unit berbanding produk Malaysia, dengan potensi tempahan besar selepas proses pentauliahan selesai dalam tempoh lapan bulan.
Justeru, RHB Research memotong unjuran hasil FY26 hingga FY28 Hartalega sebanyak 17% hingga 23%, sejajar jangkaan penurunan ASP, selain pengeluaran bulanan disasarkan kepada 2.3 bilion unit.
"Bagaimanapun kami tidak menolak kemungkinan pemulihan sekiranya terdapat beberapa faktor luaran seperti pengukuhan dolar AS serta ketegangan semula perdagangan antara AS dan China," katanya.
Di samping itu, firma tersebut menjangka kumpulan berkenaan mampu bangkit jika berlaku pengurangan persaingan pasaran, kenaikan mendadak ASP dan kadar penggunaan loji lebih tinggi. - DagangNews.com








