KUALA LUMPUR 25 Nov - CGS International (CGSI) melihat Hap Seng Plantations Holdings Berhad berada pada landasan lebih kukuh menjelang FY26, disokong oleh sensitiviti pendapatan yang tinggi.
Antaranya harga minyak sawit mentah (MSM) dan kedudukan kewangan sangat sihat, dengan firma itu mengulangi saranan 'tambah' serta harga sasaran RM3.35, selain dividen sekitar 7% bagi FY26.
Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran keuntungan bersih pada FY25 sebanyak 17.8% selepas pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM oleh kumpulan berkenaan didapati lebih rendah daripada jangkaan.
"Tahap pengeluaran pada 3Q25 lemah akibat kadar perahan rendah dan cuaca yang tidak menggalakkan, dengan hujan lebih kerap telah menekan hasil BTS," kata CGSI dalam satu nota kajiannya hari ini.
Walaupun output jelas firma penyelidikan tersebut, dijangka memuncak pada 4Q25 terutama ketika Oktober 2025, peningkatan secara bermusim itu tidak mencukupi untuk menampung kekurangan 9M25.
Justeru, ia mengambil pendekatan yang lebih konservatif berbanding pihak pengurusan Hap Seng Plantations dengan pengeluaran BTS pada FY25 dijangka susut kira-kira 3% tahun ke tahun (YoY).
Harga purata MSM tambah CGSI, namun dijangka kekal tertekan dalam 4Q25F akibat lebihan bekalan terutamanya dari Sabah dan Sarawak, dengan ia menjangkakan permulaan FY26 yang lebih stabil.
"Kadar pengeluaran diunjur rendah dan sokongan terhadap harga, tetapi secara keseluruhan, kumpulan perladangan ini berada dalam kedudukan terbaik memanfaatkan sebarang pemulihan harga MSM," katanya.
Perkembangan positif tersebut jelas firma berkenaan, memandangkan syarikat itu mempunyai antara tahap sensitiviti pendapatan yang tertinggi dalam sektor perladangan di Bursa Malaysia selama ini.
CGSI berkata, setiap kenaikan walaupun hanya 5% melibatkan harga MSM daripada anggaran RM4,500 setiap tan, dijangka berupaya meningkatkan keuntungan Hap Seng Plantations pada FY26 kira-kira 16%.
Kumpulan berkenaan tambahnya, memiliki kedudukan tunai bersih 81 sen sesaham, memberikan ruang dividen kukuh dan menjadikan syarikat ini antara pemain paling stabil dalam segmen perladangan.
"Kami namun memberi amaran antara risiko utama kumpulan ini ialah faktor cuaca tidak menentu yang boleh menjejaskan output, dan jualan lebih rendah daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com








