Prospek Gamuda dibimbangi terjejas disebabkan kekurangan kontrak baharu - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Gamuda dibimbangi terjejas disebabkan kekurangan kontrak baharu - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Pertumbuhan Gamuda Berhad dibimbangi boleh terjejas berikutan faktor penambahan kontrak kerja baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek kumpulan pembinaan itu ketika ini terpaksa bergantung kepada beberapa projek di luar negara untuk mengekalkan momentum perolehan dalam jangka panjang.


Berdasarkan maklumat diperoleh firma itu, syarikat berkenaan setakat ini membida empat kerja yang telah pun disenarai pendek iaitu masing-masing satu di New Zealand dan tiga di Australia.


"Nilai semua projek itu dianggarkan RM30 bilion namun jumlah ini belum diambil kira sebagai muktamad untuk boleh dimasukkan ke dalam bahagian perolehan Gamuda," kata RHB Research dalam nota kajiannya. 


Projek terbesar katanya, ialah pembinaan jajaran seksyen antara Warkworth dan TeHana di lebuh raya Northland Corridor, New Zeland yang melibatkan konsortium Together North dengan empat syarikat.


Tambahnya, penganugerahan tender pembangunan laluan empat lorong sepanjang 26 kilometer itu dijangka diketahui pada pertengahan 2026 dengan kerja-kerja pembinaan perlu bermula akhir tahun berkenaan.


Sementara kontrak di Australia pula kata RHB Research, melibatkan pelbagai pakej projek tenaga boleh diperbaharui yang diunjurkan berpotensi menjana nilai kontrak mencecah A$3 bilion (RM8.29 bilion).


"Sehingga kini, sebahagian besar projek Gamuda dimenangi di Australia, Taiwan dan Singapura yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan buku tempahan kumpulan," kata firma tersebut. 


Sehubungan itu, melihat kepada perkembangan semasa yang positif dalam jangka panjang, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran tidak berubah kepada RM5.64 sesaham.  - DagangNews.com