Prospek Deleum di Thailand dikhuatiri terjejas disebabkan isu perundangan berbeza - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Deleum di Thailand dikhuatiri terjejas disebabkan isu perundangan berbeza - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Prospek pertumbuhan Deleum Berhad selepas kejayaan pengambilalihan MPC Future Co Ltd (MPC) di Thailand semalam sebenarnya masih lagi berisiko terjejas, menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, antara yang paling dikhuatiri ialah faktor isu rangka kerja undang-undang, cukai dan dasar kerajaan negara berkenaan sendiri terhadap kemasukan pelabur asing.


Tambahnya, kumpulan penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu dijangka berdepan dengan cabaran pematuhan kepada sistem perundangan yang agak berbeza daripada Malaysia dalam industri petroleum.


"Kami mengenal pasti risiko menurun kepada pengambilalihan MPC ini termasuk permasalahan integrasi yang mungkin berlaku semasa proses pemilikan tersebut," kata MIDF Research dalam nota kajiannya.


Semalam, Deleum memeterai perjanjian jual beli kepentingan MPC secara tunai dan terbitan saham baharu melalui anak syarikat tidak langsung, Deleum Oilfield Solutions (Thailand) Co Ltd (DOST).


Usaha pengambilalihan terbaharu ini turut sejajar dengan strategi Deleum sendiri mengukuhkan lagi jejak serantau di ASEAN dan meningkatkan tawaran perkhidmatan di luar Malaysia selepas Indonesia.


Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, kumpulan berkenaan turut berdepan cabaran ketidaktentuan harga turun naik pasaran minyak global sepanjang masa terutama jika berlaku konflik di Asia Barat.


"Ia juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan jangka pendek dalam kadar pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan antara baht Thailand dan ringgit sendiri," kata firma berkenaan.


Dalam tempoh terdekat, ia berkata, risiko daripada konflik Israel-Iran dan ketegangan perdagangan yang berterusan mungkin memberi kesan besar kepada pengeluaran daripada aktiviti huluan Deleum.


Perkembangan tersebut kata MIDF Research, seterusnya mungkin memberi kesan besar kepada permintaan untuk operasi O&G ke atas banyak syarikat yang terlibat dalam industri serupa di seluruh dunia.


Bagaimanapun, ia Deleum mempunyai kelebihan berdasarkan kepakarannya dalam pasaran perkhidmatan rumusan luar pesisir, memandangkan kebanyakan tawarannya dilindungi nilai dalam garis masa projek.


Berdasarkan situasi semasa ketika ini, firma itu dengan terus mengekalkan saranan "beli" ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM1.92 sesaham. - DagangNews.com