KUALA LUMPUR 9 April - Prospek sektor penjagaan kesihatan swasta negara dilihat semakin cerah apabila faktor permintaan berasaskan struktur usia mula diterjemahkan secara lebih ketara kepada pertumbuhan pendapatan, menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, trend penuaan yang sebelum ini sering dibincangkan pada peringkat makro kini memasuki fasa baharu apabila impaknya mula jelas dalam prestasi kewangan syarikat hospital swasta.
“Apa yang dahulunya sekadar naratif kini menjadi pemacu utama permintaan penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan penarafan “overweight” ke atas sektor berkenaan, dengan tumpuan kepada pemain utama seperti KPJ Healthcare Bhd dan IHH Healthcare Bhd yang dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan yang mampan.
Menurut BIMB Securities, peningkatan populasi warga emas telah membawa kepada perubahan ketara dalam corak penggunaan perkhidmatan kesihatan, termasuk kes yang lebih kompleks, intensiti rawatan lebih tinggi serta peningkatan hasil bagi setiap pesakit.
Malaysia secara rasmi mencapai status negara menua pada 2025, dengan kira-kira 8% penduduk berumur 65 tahun ke atas, manakala kumpulan berusia 60 tahun ke atas kini merangkumi sekitar 12% populasi.
Perkembangan itu turut dilihat semakin meluas ke luar kawasan bandar utama, dengan negeri seperti Perak dan beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dalam populasi warga emas.
Dalam pada itu, peningkatan jangka hayat melebihi 75 tahun, digabungkan dengan jurang jangka hayat sihat sekitar 64 hingga 65 tahun, telah mewujudkan permintaan tambahan terhadap perkhidmatan kesihatan.
“Rakyat Malaysia kini menghabiskan hampir satu dekad dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, sekali gus meningkatkan keperluan kepada rawatan berterusan,” jelasnya.
Keadaan ini diburukkan dengan kadar penyakit kronik yang tinggi seperti diabetes, hipertensi dan hiperkolesterolemia, yang mendorong peralihan penggunaan penjagaan kesihatan daripada bermusim kepada berulang dan berintensiti tinggi.
Katanya, model pembayaran berasaskan bayaran per perkhidmatan yang masih dominan ketika ini turut menyokong margin pengendali hospital swasta dalam jangka masa terdekat, walaupun pembaharuan sistem kesihatan berpotensi mengubah landskap dalam jangka panjang.
Selain itu, segmen baharu seperti rehabilitasi dilihat semakin berkembang, membantu mengurangkan tekanan terhadap penjagaan akut dan meningkatkan kecekapan sistem secara keseluruhan.
“Demografi menua, peningkatan penyakit kronik serta kekangan kapasiti sektor awam terus menjadi pemangkin kepada peralihan pesakit ke hospital swasta,” katanya.
Menurut BIMB Securities, pasaran masih belum mengambil kira sepenuhnya kesan peningkatan kerumitan kes, tempoh rawatan yang lebih panjang serta penggunaan perkhidmatan pakar yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan pendapatan sektor tersebut.
“Ini membuka ruang kepada potensi peningkatan penilaian apabila prestasi kewangan terus sejajar dengan trend permintaan jangka panjang,” tambahnya.
Firma itu turut menekankan kepakaran bernilai tinggi seperti onkologi, kardiologi, nefrologi dan ortopedik dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan, khususnya bagi hospital swasta yang mempunyai keupayaan untuk mengembangkan perkhidmatan pakar secara berkesan. - DagangNews.com








