Prospek buku tempahan kukuh, Gamuda mampu lepasi RM45 bilion akhir 2025 - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek buku tempahan kukuh, Gamuda mampu lepasi RM45 bilion akhir 2025 - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — Gamuda Berhad berkemungkinan besar mampu melepasi RM45 bilion dalam prospek buku tempahan yang semakin kukuh sebelum hujung tahun ini, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan pembinaan berkenaan namun setakat ini masih lagi berhati-hati dengan tidak terlalu yakin dan tetap mengekalkan sasaran secara realistik sebanyak RM40 bilion.

 

Tambahnya, sehingga Jun 2025, buku pesanan kumpulan itu merekodkan RM37.2 bilion manakala laporan perolehan kontraknya bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25) berjumlah RM18.4 bilion.

 

"Dengan diandaikan hanya projek tempatan yang disasarkannya, kami menganggarkan Gamuda menutup kalendar tahun ini dengan buku tempahan kira-kira RM42 bilion," kata CGSI dalam satu notanya.

 

Bagaimanapun, firma itu tidak memasukkan tender yang berpotensi di Taiwan, Australia dan projek Transit Aliran Ringan Pulau Pinang serta projek pemindahan air mentah dari Perak ke Pulau Pinang.

 

Ia namun tetap optimis dengan kemampuan kumpulan berkenaan untuk meraih satu lagi kemenangan yang baharu menerusi projeknya di Taiwan bernilai kira-kira RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

 

Melangkah ke tahun depan kata CGSI, senarai tender Gamuda kelihatan positif kerana ia mempunyai penglibatan awal dengan banyak projek dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia.

 

"Syarikat ini juga disenarai pendek untuk kontrak stesen kereta api di Queensland dan New South Wales serta projek lebuh raya di New Zealand," tambah firma berkenaan. - DagangNews.com