Propel Global Berhad jalin MoU dengan Sabah Energy, Reservoir Link bangunkan projek jana kuasa gas modular | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Propel Global Berhad jalin MoU dengan Sabah Energy, Reservoir Link bangunkan projek jana kuasa gas modular

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – Propel Global Berhad (PGB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Reservoir Link Energy Bhd (RLEB) untuk membangunkan projek jana kuasa gas modular.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PGB berkata MoU itu bertujuan menetapkan asas kerjasama bagi membangunkan projek yang menyokong peralihan dari diesel kepada penjanaan berasaskan gas yang lebih bersih serta meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah.

 

SEC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah, merupakan utiliti tenaga utama negeri dan bertanggungjawab terhadap pembangunan serta pengkomersialan sumber gas asli Sabah.

 

RLEB pula adalah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan industri minyak dan gas. PGB memegang 13.946% saham dalam RLEB.

 

Dalam kerangka MoU tersebut, PGB dan RLEB akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan, penilaian impak sosial dan alam sekitar, kajian sistem tenaga serta pemodelan kewangan, dengan sokongan SEC. 

 

“Satu Jawatankuasa Kerja Bersama (JWG) akan ditubuhkan dalam tempoh 30 hari bagi menyelaras kajian dan perancangan projek.

 

“Projek dijangka dilaksanakan di bawah struktur tanpa perbelanjaan modal ditanggung sepenuhnya oleh RLEB, dengan perincian komersial dan pemilikan akan ditentukan dalam perjanjian usaha sama kemudian,” kata PGB dalam makluman tersebut.

 

MoU ini berkuatkuasa selama dua tahun, dengan terma-terma tertentu seperti hak ekslusif, kerahsiaan dan hak intelektual. 

 

Risiko utama pada peringkat ini termasuk kemungkinan kajian kebolehlaksanaan tidak menghasilkan struktur usaha sama yang praktikal, perubahan polisi kerajaan atau kelulusan peraturan, serta kelewatan mendapatkan tapak projek atau kelulusan teknikal.

 

t
Angeline Lee

 

Sementara itu Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global Angeline Lee berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen Propel Global untuk membolehkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan lebih andal bagi Sabah. 

 

“Inisiatif tersebut berhasrat menyokong peralihan tenaga Sabah melalui penjimatan kos dan pengurangan pelepasan karbon, di samping menyumbang kepada pembangunan perindustrian serta ekonomi jangka panjang negeri.

 

“Propel Global turut memberi penekanan kepada penyampaian projek yang bertanggungjawab, disokong oleh tadbir urus yang kukuh serta perlindungan alam sekitar dan sosial yang mantap. Pendekatan ini, penting bagi memastikan manfaat yang mampan dapat dinikmati oleh komuniti dan industri di Sabah,” katanya.

 

t
Thien Chiet Chai

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link Thien Chiet Chai pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan SEC dan Propel Global dalam inisiatif strategik IG2P tersebut.

 

Beliau menyifatkan kerjasama dengan rakan kongsi yang bereputasi sebagai satu langkah ke hadapan yang signifikan dalam menyokong peralihan tenaga Sabah, dengan matlamat untuk menyediakan penyelesaian komprehensif yang dapat memperkukuh daya tahan tenaga negeri serta mewujudkan nilai berkekalan kepada industri dan komuniti tempatan.

 

“Kerjasama itu membolehkan Reservoir Link memanfaatkan keupayaan kejuruteraan, EPC dan O&M pada skala komersial yang lebih luas, sekali gus mempelbagaikan asas pendapatan Kumpulan melangkaui perkhidmatan medan minyak tradisional. Inisiatif ini juga meletakkan Reservoir Link sebagai penyumbang jangka panjang kepada peralihan Sabah daripada diesel kepada sumber tenaga yang lebih bersih, sambil membuka peluang pertumbuhan mampan untuk Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com