KUALA LUMPUR 9 Sept – Pemilihan Gamuda Berhad sebagai pembida utama projek tenaga mega Marinus Link di Australia dijangka membuka laluan kukuh kepada pendapatan berulang jangka panjang.
RHB Research berkata, kumpulan pembinaan itu dipilih menerusi anak syarikatnya, DT Infrastructure dalam projek usaha sama 50:50 dengan Samsung C&T, yang dikenali sebagai TasVic Greenlink JV.
Kata firma penyelidikan tersebut, kontrak terbaharu itu melibatkan kerja-kerja pembinaan utama dalam projek sambungan elektrik dan data yang akan merentasi Selat Bass di negara berkenaan.
“Ini bukan sahaja menambah ketara kepada buku tempahan Gamuda, malah mengukuhkan profil kumpulan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) global, terutama di Australia,” katanya dalam nota.
Tambah RHB Research, Marinus Link ialah projek infrastruktur kritikal merangkumi pemasangan 345 kilometer (km) kabel elektrik dan data termasuk 255km kabel bawah laut dan 90km kabel bawah tanah.
Ia katanya, menghubungkan North West Tasmania dan Latrobe Valley, Victoria dengan skop kerja utama yang bakal dilaksanakan meliputi pembinaan stesen penukar tenaga di Heybridge dan Hazelwood.
Menurutnya, projek berkenaan turut membabitkan kerja-kerja awam pemasangan kabel darat dan pemasangan peralatan teknikal berkaitan dengan Fasa 1 (750MW) dijangka bermula seawal tahun depan.
"Ia disasarkan perlu disiapkan menjelang 2030, manakala Fasa 2 pula dengan tambahan 750MW lagi akan dipertimbangkan kemudian mengikut keperluan pasaran tenaga Australia," kata RHB Research.
Nilai keseluruhan projek ini tambah firma penyelidikan tersebut, dianggarkan mencecah AUD4.8 bilion (kira-kira RM13.34 bilion), namun pembahagian nilai antara fasa masih belum dimuktamadkan.
Selain itu, Gamuda masih meneroka banyak projek RE di Australia, termasuk Oven Mountain Pumped Hydro di New South Wales dengan anggaran bahagian kontrak mencecah AUD900 juta (RM2.5 bilion).
Kumpulan tersebut juga kata RHB Research, terlibat dalam kerja-kerja awal untuk dua lagi projek RE yang dianggap sebagai berskala besar iaitu Capricornia Energy Hub dan Carmody’s Hill Wind Farm.
“Gamuda berada pada posisi strategik untuk memanfaatkan aspirasi Australia mencapai sasaran nasional sebanyak 82% campuran tenaga menjelang 2030,” tambah kajian oleh firma berkenaan.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM6.52 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 17% daripada paras semasa, disokong hasil dividen FY26 sekitar 2%.
Walaupun saham Gamuda kini diniagakan 14 kali lebih tinggi daripada purata 10 tahun sektor pembinaan Malaysia, RHB Research berpendapat penilaian ini wajar kerana potensi kukuh kumpulan itu.
Bagaimanapuan, ia memberi amaran risiko utama termasuk kelewatan dalam penganugerahan kontrak rasmi serta pengisian semula buku tempahan yang lebih perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com








