KUALA LUMPUR 3 Sept – Sunview Group Berhad dijangka mencatatkan prestasi kukuh dalam suku akan datang, dipacu pelbagai projek di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih Korporat (CGPP).
Berdasarkan potensi itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat tersebut, tetapi menyemak semula harga sasaran (TP) kepada 46 sen berbanding 54 sen sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, ia berikutan keputusan kewangan di bawah jangkaan bagi tempoh 15 bulan sehingga Ogos 2025 (15MFY25) dengan keuntungan teras kumpulan hanya mencecah RM5.4 juta.
"Keadaan keuntungan berkenaan mewakili sekitar 40.6% daripada anggaran bagi sejumlah 18 bulan kewangan yang berakhir pada September 2025," kata MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Sunview tambah firma tersebut, turut mencatatkan kerugian bersih RM0.9 juta dalam suku kelima selepas mengambil kira pelarasan keuntungan pertukaran mata wang asing yang belum direalisasi.
Hasil segmen Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) merosot 16.0% suku-ke-suku (QoQ) kepada RM63 juta, manakala keuntungan sebelum cukai susut 21.4% QoQ kepada RM7.1 juta.
Penurunan tersebut kata MBSB Research, berpunca daripada sumbangan lebih rendah daripada pelbagai projek solar berskala besar yang sudah pun dilaporkan telah menghampiri fasa penyiapan akhir.
"Segmen penjanaan tenaga namun mencatatkan peningkatan dengan lonjakan pendapatan 44.9% kepada RM1.4 juta, manakala keuntungan kasar meningkat tiga kali ganda kepada RM0.8 juta," katanya.
Selain itu tambah firma tersebut, Sunview kini memiliki buku tempahan belum yang dibil mencecah sebanyak RM235.5 juta, memberikan kepastian pendapatan sehingga tahun kewangan 2026 (FY26).
MBSB Research menjangkakan projek EPCC di bawah program solar berskala besar (LSS) kelima yang sedang diberikan secara progresif akan terus menyumbang kepada pengisian semula buku tempahan.
"Kami difahamkan Sunview ketika ini turut agresif dalam membida banyak projek baharu, dengan nilai tender EPCC yang berjumlah RM4.0 bilion,” jelas firma penyelidikan berkenaan lagi.
Ia optimis terhadap prospek masa depan Sunview, dengan unjuran penyertaan projek LSS5+, LSS6 serta minat kukuh dalam pemasangan solar atas bumbung sektor komersial, industri dan kediaman.
Meskipun keputusan kewangan semasa sedikit mengecewakan, asas perniagaan Sunview kekal kukuh disokong oleh pelan hala tuju peralihan tenaga negara (NETR) dan projek LSS yang akan datang.
Kumpulan penyedia rumusan tenaga hijau tersebut kata MBSB Research, juga dikenal pasti akan terlibat aktif dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) di seluruh negara. - DagangNews.com








