KUALA LUMPUR 12 Feb — Taliworks Corporation Berhad kekal menarik perhatian ramai pelabur berikutan prestasi pada FY25 yang stabil menerusi prospek projek Sungai Rasau, menurut RHB Research.
Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) kepada 88 sen yang turut menawarkan potensi kenaikan mencecah 96% serta dividen pada FY26 diunjurkan sekitar 5%.
Ia menyifatkan prestasi ketika FY25 sebagai kukuh, apabila mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM83.5 juta iaitu peningkatan kira-kira 14% tahun ke tahun (YoY), hampir sejajar dengan ramalan penuhnya.
"Perkembangan positif Taliworks itu disokong oleh kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan prestasi kerja-kerja berkaitannya dalam tender pengurusan sisa pepejal," kata RHB Research dalam notanya.
Dari segi pecahan segmen pula jelas firma tersebut, bahagian rawatan dan bekalan air melaporkan kenaikan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 4.5% YoY meskipun jualan meter turun 1.5% YoY.
Sebaliknya, pengendalian konsesi lebuh raya Grand Saga menyaksikan EBIT turun 19% YoY akibat trafik yang sedikit merosot, bayaran pampasan kerajaan rendah, dan kos penyelenggaraan meningkat.
Artikel berkaitan: Jumlah untung bersih Taliworks mencecah RM107.4 juta bagi FY25 disokong segmen pembinaan
Bahagian pembinaan diuruskan Taliworks kata RHB Research, mencatat kerugian kecil sebelum cukai sebanyak RM0.1 juta, berikutan penurunan anggaran dalam margin bagi projek Sungai Rasau Pakej 2.
"Bagaimanapun, kami masih optimis yang projek ini berkeupayaan memberi impak signifikan pada FY26 hingga FY27 apabila Pakej 2 siap pada 1H27 dan Pakej 3 pula 4QFY26," jelas firma penyelidikan itu.
Segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) mencatatkan EBIT FY25 mencecah RM12.6 juta daripada RM1.2 juta pada FY24, susulan peningkatan output 3.3% YoY dan tiada kos penggantian panel solar lama.
RHB Research menyemak unjuran hasil FY26 hingga FY27 masing-masing 3% dan 4% berikutan penilaian margin projek Sungai Rasau, namun mengekalkan TP dengan jangkaan ada peluang kenaikan harga saham.
Antaranya disebabkan Taliworks memiliki projek baharu untuk segmen pembinaan dengan lebih RM1 bilion tender infrastruktur air, serta kelulusan lebih cepat bagi kenaikan tarif pengurusan sisa pepejal.
"Kami namun memberi amaran risiko penurunan termasuk kadar penggunaan air lebih rendah daripada jangkaan, yang boleh menjejaskan prestasi segmen air kumpulan," katanya. - DagangNews.com








