Jumlah untung bersih Taliworks mencecah RM107.4 juta bagi FY25 disokong segmen pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah untung bersih Taliworks mencecah RM107.4 juta bagi FY25 disokong segmen pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 FebTaliworks Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM107.39 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 5% berbanding RM102.53 juta pada FY24. 


Menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan prestasi ini didorong terutama oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Di samping itu jelasnya, kumpulan berkenaan mendapat banyak manfaat hasil pengurangan perkongsian kerugian daripada salah sebuah syarikat bersekutunya, SWM Environment Holdings Sdn Bhd (SWMEH).


"Pengurangan kerugian SWMEH tersebut berpunca daripada pelarasan satu kali sahaja pembalikan bersih peruntukan elaun kerugian atas belum terima yang berjumlah RM112.69 juta," tambah Taliworks.


Hasil kumpulan pada FY25 meningkat 2% kepada RM461.87 juta berbanding RM451.40 juta pada 2024, dengan segmen pembinaan dipacu kemajuan berterusan Projek Bekalan Air Sungai Rasau (Pakej 2 dan 3).


Sementara itu, segmen RE pula mencatatkan sumbangan positif hasil daripada kesan setahun penuh penggantian panel solar di loji solar TR Sepang dan TR CPark yang meningkatkan jualan elektrik.


Segmen rawatan air jelas Taliworks, melaporkan penurunan hasil sebanyak RM8.52 juta akibat jualan bermeter yang rendah dan langkah penyusunan semula tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad. 


"Untuk segmen tol, ia terkesan oleh pampasan kerajaan yang lebih rendah iaitu sebanyak RM37.38 juta berbanding kira-kira RM56.54 juta dibayar pada tahun sebelumnya," tambah kumpulan berkenaan lagi.


Susulan prestasi tersebut, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat iaitu 0.75 sen sesaham yang dibayar pada 31 Mac 2026, dengan jumlah keseluruhan dividen bagi FY25 ialah 2.25 sen.


Mengenai prospek masa depan, Taliworks katanya, akan terus menumpukan kepada strategi pertumbuhan dalam perniagaan infrastruktur dan utiliti, termasuk dalam projek sistem pengepaman baharu.


Antaranya Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 yang dijangka siap pada 2Q26, manakala kemudahan rawatan sisa mekanikal pula menjelang Jun 2026 bagi memastikan kelestarian operasi. - DagangNews.com