Projek strategik di Britain serlah potensi cerah jangka panjang IJM, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek strategik di Britain serlah potensi cerah jangka panjang IJM, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Sept – Pelbagai projek strategik IJM Corporation Berhad di Britain, khususnya di London, dilihat membuka potensi pertumbuhan kukuh jangka panjang bagi syarikat berkenaan.

 

CGS International (CGSI) menambah, menerusi lawatannya ke beberapa tapak projek antara 8 hingga 11 September 2025, situasi tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada kumpulan itu sendiri.


Menurut firma penyelidikan itu, keadaan turut dibantu permintaan kukuh terhadap ruang pejabat berkualiti tinggi yang berstatus ESG serta kekurangan penawaran perumahan di United Kingdom (UK).


“Kami melihat perkembangan positif ini sebagai petunjuk awal penglibatan antarabangsa IJM melalui aset premium mampu menjadi pemacu nilai signifikan kepada kumpulan,” katanya dalam laporannya.


Justeru, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham IJM dengan harga sasaran RM3.61, yang disokong oleh prospek cerah pertumbuhan luar negara dan francais kukuh bagi pembinaan domestik.


Antaranya, projek 25 Finsbury Circus, yang terletak di kawasan City Core London, menjalani pengubahsuaian menyeluruh dengan tambahan 30% keluasan lantai kasar kepada 36,418 meter persegi.


Perkembangan ini muncul ketika pasaran pejabat Gred A menunjukkan lonjakan permintaan, menurut data Knight Frank, dengan kadar kekosongan dijangka turun kepada sifar menjelang 2028.


Perjanjian pajakan selama 20 tahun dengan firma guaman Simmons & Simmons, melibatkan 62% daripada ruang bersih tersedia, disifatkan CGSI sebagai langkah baik, dengan kadar sewa yang kompetitif.


“Kami belum memasukkan projek ini dalam model penilaian, namun unjuran awal menunjukkan potensi pulangan ekuiti (IRR) 22.7%, iaitu aset berprofil tinggi dalam senarai pelaburan IJM,” katanya.


IJM turut mengukuh kedudukan melalui usaha sama 50:50 dengan Network Rail, dikenali Innova, yang ada hak keutamaan memajukan pelbagai tapak strategik bernilai £7 bilion (kora-kira RM40 bilion).


Antara projek utama termasuk 88 Royal Mint Street, menrusi pajakan 30 tahun dengan pengendali Wilde Aparthotels, serta potensi pembangunan semula stesen bawah tanah utama di tengah London.


Tambah CGSI, projek rel berkenaan turut melibatkan kemungkinan usaha pengambilalihan beberapa lagi bangunan yang bersebelahan untuk memaksimumkan nilai komersial sekitar kawasan tersebut.


“Pendekatan berhati-hati dilaksanakan IJM untuk memastikan pelabur dan penyewa tersedia sebelum melabur turut membuktikan tahap disiplin kewangan yang sebenarnya mantap,” kata firma berkenaan.


Selain portfolio luar negara, ia kekal positif terhadap kekuatan asas IJM di Malaysia sendiri melalui perniagaan pembinaan dan produk konkrit pratuang yang dilihat cukup saling melengkapi.


Pemangkin utama penawaran semula kumpulan berkenaan, termasuk potensi dianugerahkan beberapa projek yang lebih pantas untuk disiapkan dan pertumbuhan jualan hartanah yang lebih tinggi.


Bagaimanapun, CGSI memberi amaran risiko terhadap unjuran pertumbuhan termasuk kenaikan kos bahan mentah dan kelewatan dalam penganugerahan projek tertentu. - DagangNews.com