Projek solar 150MWp LSS5 di Kedah pacu momentum Gentari dalam pasaran tenaga bersih Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek solar 150MWp LSS5 di Kedah pacu momentum Gentari dalam pasaran tenaga bersih Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Mei – Gentari terus memperkukuh pelaksanaan projek Solar Berskala Besar 5 (LSS5) di Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah yang kini memasuki fasa pembinaan aktif, selaras dengan usaha mempercepat peralihan tenaga negara daripada perancangan kepada pelaksanaan di lapangan.

 

Projek loji solar berskala utiliti berkapasiti 150 MWp itu dibangunkan melalui Gentari LSS Lima Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Gentari Renewables Sdn Bhd sebagai sebahagian portfolio utama tenaga boleh baharu kumpulan.

 

Projek ini dianugerahkan kepada Gentari selepas syarikat itu berjaya dalam bidaan program LSS5 Malaysia pada Disember 2024, sekali gus menandakan peralihan kepada fasa pelaksanaan sebenar projek tenaga berskala besar negara.

 

Menurut Gentari, LSS5 merupakan antara program tenaga solar berskala besar terbesar pernah diperkenalkan di Malaysia dengan jumlah kapasiti sasaran nasional sekitar 2,000 megawatt (MWac), menjadikannya antara komponen utama dalam peluasan kapasiti tenaga boleh baharu negara.

 

Projek ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan Malaysia mencapai sehingga 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2050.

 

Selain NETR, pembangunan projek ini juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) 2030) yang menekankan pertumbuhan ekonomi hijau, pembangunan industri berteknologi tinggi dan peningkatan pelaburan bernilai tinggi.

 

t

 

t

 

Apabila siap dan beroperasi kelak, loji solar ini akan membekalkan tenaga elektrik bersih ke grid nasional melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun yang memberikan kepastian aliran hasil jangka panjang kepada projek.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Gentari merangkap Ketua Negara Malaysia bagi Gentari, Shah Yang Razalli berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual, skop dan bajet yang ditetapkan, di samping mengekalkan standard teknikal, alam sekitar dan kejuruteraan yang tinggi.

 

“Pembangunan aset tenaga berskala utiliti seperti ini penting dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara serta menyokong usaha penyahkarbonan secara berterusan dalam jangka panjang.

 

“Projek LSS5 dijangka menyumbang pengurangan pelepasan karbon sebanyak 166,766 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun apabila beroperasi sepenuhnya, sekali gus membantu Malaysia mencapai sasaran iklim negara,” katanya.

 

Dari sudut ekonomi, projek ini turut dijangka menjana limpahan ekonomi kepada negara melalui penciptaan peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan serta aktiviti operasi dan penyelenggaraan selepas siap.

 

Selain itu, projek ini juga dijangka memperkukuh kedudukan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai hab pertumbuhan pelaburan berkualiti tinggi, di samping menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga bersih dan industri berteknologi tinggi. - DagangNews.com