KUALA LUMPUR 8 Ogos — Tenaga Nasional Berhad diramal menjana prospek perniagaan dan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui rakannya di Australia, menurut Affin Hwang Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kerjasama terbaharu syarikat utiliti berkenaan dengan Spark Renewables, dilihat seharusnya membantunya dalam mencapai sasaran RE yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, ia mengekalkan ramalan pendapatan TNB dengan saranan 'beli' ke atas sahamnya, manakala harga sasaran (TP) selama 12 bulan diskaun aliran tunai (DCF) diunjur sebanyak RM16.20 sesaham.
"Bagaimanapun, kami mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes elaun pelaburan semula menimbulkan risiko penurunan hasil dan TP," kata Affin Hwang dalam nota kajiannya.
Di bawah senario penurunan, pendedahan tunai bersih kepada cukai tambahan sebanyak RM6.5 bilion adalah bersamaan dengan RM1.12 sesaham, yang mungkin mengurangkan TP terbitan DCF sebanyak 7%.
Tambahnya, memandangkan TNB sedang giat meneruskan tuntutan elaun pelaburan di bawah Jadual 7B, ia menjangkakan aliran keluar tunai akhirnya lebih rendah daripada anggaran awal RM6.5 bilion.
Affin Hwang berkata, permodalan pasaran TNB telah merosot sebanyak RM10 bilion kepada RM11 bilion sejak pengumuman penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan mengenai isu elaun pelaburan semula itu.
"Kami percaya trend penurunan harga saham syarikat ini lebih daripada menggambarkan potensi kesan aliran tunai berbanding akibat liabiliti dikenakan cukai tambahan itu," kata firma berkenaan.
Dari segi operasi, firma penyelidikan tersebut kekal yakin dengan prospek perniagaan TNB serta positif terhadap prospek perniagaan RE dikendalikan menerusi Spark Renewables di Australia.
Risiko kelemahan utama yang disebut untuk penarafan sahamnya kata Affin Hwang, ialah perubahan kawal selia, gangguan operasi dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan sebelumnya.
Ia namun terus menggemari saham TNB, sebagai penerima langsung pemacu peralihan tenaga Malaysia dan penyumbang kepada peningkatan permintaan elektrik, didorong pertumbuhan pusat data baharu.
"Semasa lawatan teknikal kami ke Sydney, Australia baru-baru ini bertemu dengan Spark Renewables, ia optimis memberi tumpuan kepada pembangunan dan memiliki aset RE," katanya. - DagangNews.com








