Projek RE, lonjakan permintaan air di Johor jadi pemangkin baharu Ranhill Utilities - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek RE, lonjakan permintaan air di Johor jadi pemangkin baharu Ranhill Utilities - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Ranhill Utilities Berhad dinaik taraf kepada saranan 'neutral' daripada 'jual', berikutan peningkatan harga sasaran sesaham (TP) kepada RM1.50 berbanding RM1.02 sebelumnya, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, semakan ini didorong prospek pertumbuhan kukuh projek tenaga boleh diperbaharui (RE), serta permintaan air di Johor disebabkan ledakan pusat data dan perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Walaupun prestasi kewangan terkini berada dalam jangkaan, Ranhill dilihat memasuki fasa pertumbuhan baharu dengan tumpuan strategik kepada projek infrastruktur tenaga lestari, selain kekal kukuh dalam segmen air menerusi unitnya, Ranhill SAJ.


"Dalam usaha mempelbagaikan aliran pendapatan, Ranhill Utilities kini giat meneroka peluang dalam segmen RE, antaranya penyertaan dalam Skim Pembekalan RE Korporat (CRESS)," kata MBSB Research dalam notanya.


Kumpulan itu juga tambah firma berkenaan, terlibat dalam bidaan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Julai 2025 untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100MW/400MWh.


Penyertaan dalam inisiatif tenaga hijau ini bukan sahaja selari dengan agenda negara ke arah tenaga mampan, malah dijangka membuka ruang pendapatan baharu untuk Ranhill Utilities dalam tempoh jangka sederhana.


Sementara itu, permintaan air di Johor dijangka meningkat dengan ketara, sejajar pertumbuhan pesat pusat data di negeri tersebut serta perkembangan JS-SEZ dan Zon Kewangan Khas Johor-Singapura.


Ranhill SAJ, selaku operator air utama di Johor, berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertambahan pengguna industri berintensifkan air, termasuk syarikat teknologi dan pusat data antarabangsa.


"Semakan tarif air yang berkuat kuasa Ogos 2025 turut menyumbang kepada peningkatan unjuran pendapatan, terutamanya daripada pengguna bukan domestik dan sektor data," kata MBSB Research.


Tambahnya, untuk tempoh 18 bulan yang berakhir Jun 2025, Ranhill Utilities mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM76.3 juta, hasil daripada pendapatan terkumpul RM3.29 bilion.


Prestasi kumpulan ini juga katanya, sejajar dengan unjuran dalaman kira-kira 2.3% dan melebihi jangkaan pasaran sebanyak 14.9%.


Segmen air menurut MBSB Research, merupakan satu-satunya penyumbang keuntungan utama, mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM133.2 juta.


Sebaliknya, segmen tenaga mencatatkan kerugian RM0.5 juta, manakala unit perundingan Ranhill Worley merekodkan kerugian besar sebanyak RM38.9 juta akibat kos terlebih projek P82.


"Susulan semakan tarif air, unjuran pendapatan bagi FY26 disemak naik sebanyak 10.4% kepada RM72.3 juta, dengan unjuran FY27 yang juga dijangka mencatat pertumbuhan hasil yang lebih stabil," katanya.


Peningkatan tarif paling ketara melibatkan pengguna industri, terutamanya pusat data yang dikenakan kadar khusus dan dijangka memberi sumbangan signifikan kepada margin keuntungan syarikat pada masa hadapan. 


Dengan tumpuan semakin jelas terhadap projek RE dan permintaan air industri di Johor, Ranhill dilihat berada pada landasan positif menjana pertumbuhan mampan, walaupun masih berhadapan cabaran dalam segmen perundingan dan tenaga tradisional. - DagangNews.com