Projek rangkaian 5G kedua mampu pacu potensi peluang perniagaan, perkasa ekonomi digital - GSMA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek rangkaian 5G kedua mampu pacu potensi peluang perniagaan, perkasa ekonomi digital - GSMA

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb — Pelaksanaan projek rangkaian teknologi telekomunikasi generasi kelima versi terkini negara atau 5G kedua bukan sahaja meraih tumpuan minat pelabur dari luar, malahan menarik perhatian sebuah badan industri selular global, GSMA.
 

Badan dianggotai lebih 1,200 syarikat dari seluruh dunia dan ditubuhkan sejak 1995 dengan beribu pejabat di London, England itu bahkan cukup optimis kerana inisiatif ini mampu memacu potensi peluang perniagaan baharu dan memperkasakan ekonomi digital.
 

Menurut Ketua Rantau Asia Pasifik GSMA, Julian Gorman, peralihan daripada rangkaian pukal tunggal kepada rangkaian dwi menandakan perubahan landskap Malaysia yang lebih dipacu pasaran seiring dengan trend pertumbuhan pelanggan dan integrasi perusahaan.
 

"Meskipun penembusan 5G cuma cecah 40 peratus, apa yang penting perancangan baharu ini akan mewujudkan persekitaran subur untuk perkhidmatan baharu, perkongsian dan model bisnes terkini serta mempercepatkan peralihan kepada ekonomi digital,” katanya.

 

GSMA ujar beliau, sudah lama menentang rangkaian konservatif dan yakin projek 5G kedua di Malaysia itu bakal meningkatkan tahap kemampuan perkhidmatan, pelaburan rangkaian, dan membuka peluang baharu untuk inovasi perusahaan yang berkualiti.
 

Rangkaian borong tunggal selama ini banyak merekodkan kelemahan jelas beliau sambil memetik penemuan diterbitkan menerusi laporan terbaharu oleh bahagian penyelidikan GSMA yang bertajuk 'Tapping the Untapped: Malaysia 5G and the Tech Economy'.
 

"Justeru GSMA memuji kerajaan Malaysia atas keputusannya yang berfikiran ke hadapan untuk memperkenalkan rangkaian 5G kedua. Langkah ini mengukuhkan komitmen Malaysia bagi memupuk sektor telekomunikasi yang berdaya saing dan mesra pelaburan,” jelasnya.
 

Model rangkaian dwi juga kata Julian, dijangka mengukuhkan daya tahan rangkaian, meningkatkan pilihan pengguna dan merangsang prospek pertumbuhan ekonomi. Malaysia menyertai pasaran 5G yang terkemuka, dengan persaingan memacu hasil akses lebih baik.

 

GSMA yang merupakan organisasi bukan keuntungan sejagat dengan nama penuh iaitu 'Global System Mobile Communications' turut dianggotai lebih 400 syarikat telekomunikasi dan 750 operator talian mudah alih dari seluruh dunia. - DagangNews.com