KUALA LUMPUR 26 Ogos – Kemajuan pesat projek pusat data (DC) kekal sebagai pemacu utama prestasi kewangan MN Holdings Berhad, yang mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 169% tahun ke tahun (YoY) kepada RM48.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).
Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi kumpulan tersebut mengatasi unjuran Maybank Investment Bank (Maybank IB) sendiri sebanyak 7% dan konsensus pasaran sebanyak 4%.
Perkembangan tersebut, menurut firma berkenaan, didorong oleh margin perolehan kasar yang lebih tinggi daripada jangkaan, iaitu 13.1% berbanding andaian awal hanya kira-kira 11.1%.
“Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap MN dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.92 sesaham daripada RM1.88 sebelumnya, berdasarkan penilaian PER 19x, selaras dengan purata tiga tahun,” menurut Maybank IB dalam nota kajiannya.
Sepanjang FY25, kumpulan itu merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 110% YoY, didorong oleh pelaksanaan projek yang dipercepatkan dan peningkatan pengebilan kerja kejuruteraan pencawang.
Keadaan tersebut menurut Maybank IB, melonjak sebanyak 167% YoY, dengan sebahagian besarnya hasil daripada pelaksanaan projek-projek DC sendiri.
Margin tambah firma tersebut, berkembang sebanyak 2.7 mata peratusan kepada 13.1%, mencerminkan keuntungan daripada projek-projek pantas yang menawarkan margin lebih tinggi.
"Pendapatan suku keempat (4QFY25) pula menyumbang RM11.9 juta keuntungan bersih (+141% YoY), dengan penurunan pada tempoh sukuan dianggap biasa kerana salah satu projek utama hampir siap.
Maybank IB juga menjelaskan bahawa kerugian rosot nilai sebanyak RM11.8 juta ke atas aset kontrak tidak dimasukkan dalam pendapatan teras, kerana dianggap bersifat sementara dan berpunca daripada ketidaksepadanan masa pengiktirafan pendapatan.
“Kami menjangka pemulihan pendapatan bermula suku pertama FY26, apabila pengiktirafan hasil daripada projek baharu mula disumbangkan,” jelas firma penyelidikan tersebut.
Pihak pengurusan MN katanya, menjangkakan kitaran projek DC akan berterusan hingga tahun 2030, disokong oleh buku tender bernilai RM1.8 bilion dan buku tempahan sedia ada sebanyak RM1.2 bilion.
Penambahan perjanjian bekalan tenaga (ESA) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada 6.4GW setakat 1Q25 daripada 5.9GW pada akhir FY24, juga membuka ruang kepada projek infrastruktur grid baharu.
Ini kata Maybank IB, terutamanya di Johor, yang melibatkan talian voltan tinggi 275kV dan 500kV.
Selain DC, MN juga menyasarkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti LSS5, LSS5+ dan LSS6, serta sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri (BESS) sebagai pemacu pertumbuhan masa depan.
Maybank IB turut meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras MN sebanyak 7% dan 10% bagi FY26 dan FY27, berdasarkan jangkaan syarikat memperoleh banyak projek DC dengan margin yang lebih tinggi.
Unjuran bagi FY28 juga diperkenalkan, dengan andaian pengisian semula kontrak RM500 juta setahun bagi tempoh FY26 hingga FY28 dikekalkan, dipacu oleh projek DC, infrastruktur grid TNB dan RE. - DagangNews.com








