Projek One Oval tarik 500 pendaftaran, kukuhkan kehadiran UEM Sunrise di luar negara – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek One Oval tarik 500 pendaftaran, kukuhkan kehadiran UEM Sunrise di luar negara – CGSI

Foto ihsan UEM Sunrise
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Sept – Pelancaran projek terbaharu UEM Sunrise Berhad di Perth, Australia dilihat sebagai langkah strategik mengukuhkan kehadiran syarikat hartanah itu di pasaran antarabangsa.


Menurut CGS International (CGSI), ia dikenali sebagai One Oval merupakan pembangunan kelima di Australia dan dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar A$450 juta (RM1.35 bilion).


Tambah firma penyelidikan tersebut, lokasi pembangunan di Subiaco, Perth, berjaya menarik lebih 500 pendaftaran minat semasa pelancaran rasmi di Galeri Pameran Mont Kiara pada 20 September 2025.


“One Oval melengkapkan portfolio antarabangsa UEM Sunrise dengan keseluruhan GDV yang terkumpul mencecah A$2.2 bilion, melibatkan lebih 1,650 unit siap dibina,” jelas firma itu dalam notanya.


Projek terkini kumpulan berkenaan kata CGSI, merangkumi 342 unit kediaman di dua menara terdiri apartmen 1 hingga 3 bilik dan rumah bandar, dengan saiz antara 829 hingga 2,939 kaki persegi.


Walaupun One Oval diunjur mendapat sambutan hangat, ia meramalkan sumbangan kepada pendapatan syarikat tersebut dalam jangka masa terdekat dari FY25 hingga FY27 masih lagi adalah minimum.


Keadaan berkenaan tambah firma itu, memandangkan model yang perlu digunakan di Australia iaitu 'pembinaan-untuk-jual' hanya merekodkan keuntungan apabila projek hartanah tersebut siap sepenuhnya.
 

UEM Sunrise
FOTO ihsan UEM Sunrise


"Keuntungan antara RM81 juta hingga RM108 juta dijangka dapat direkodkan pada tahun kewangan 2029, sekiranya keseluruhan unit terjual dengan margin sebelum cukai sekitar 6% hingga 8%," kata CGSI.


Ia turut menyatakan yang UEM Sunrise kini dalam perbincangan lanjut untuk menjual secara 'en-bloc' sejumlah 41 unit rumah mampu milik di Menara Utara kepada penyedia perumahan komuniti tempatan.


Hartanah tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, dianggarkan bernilai antara RM80 juta hingga RM110 juta, yang mewakili kira-kira 6% hingga 8% daripada GDV keseluruhan projek One Oval itu.


Pasaran hartanah Perth tambah CGSI, terus menunjukkan ketahanan disokong oleh permintaan-sumber yang seimbang dan pelonggaran kadar faedah baru-baru ini serta lokasi strategik One Oval sendiri.


"Kedudukan tapak projek baharu ini sebenarnya berhampiran dengan sistem pengangkutan awam dan kemudahan gaya hidup premium menjadikannya kompetitif dalam pasaran hartanah tempatan," jelasnya.


Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap UEM Sunrise dengan harga sasaran 76 sen sesaham, berdasarkan diskaun 60% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) sebanyak RM1.91 sesaham.


Saham UEM Sunrise kini diniagakan pada 0.5 kali harga nilai buku (P/BV) FY25, lebih rendah berbanding purata sektor iaitu 0.7 kali disebabkan saiz pegangan tanah syarikat yang besar tetapi kurang cair.


Ia berdepan kelemahan prestasi hasil, namun faktor pemangkin termasuk pengewangan tanah simpanan dan kadar pengambilan lebih tinggi bagi projek-projek sedia ada. - DagangNews.com