Projek mega Gamuda di London berpotensi jana RM550 juta selepas siap pada FY28 — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek mega Gamuda di London berpotensi jana RM550 juta selepas siap pada FY28 — Maybank IB

Foto ihsan portal rasmi Gamuda Land
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 SeptGamuda Berhad dijangka meraih keuntungan bersih sekitar RM550 juta atau 9 sen sesaham hasil daripada projek pembangunan semula mercu tanda hartanah di ibu kota Britain.


Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) projek mega dikenali sebagai 75 London Wall yang bakal siap pada tahun kewangan berakhir Julai 2028 (FY28) memang dikenal pasti sebagai berpotensi besar.


Firma penyelidikan itu berkata, walaupun potensi keuntungan ini belum dimasukkan ke dalam unjuran pendapatan jangka pendek, ia tetap mengekalkan Gamuda sebagai pilihan utama sektor pembinaan.


"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham RM6.04 daripada RM6.05, disebabkan pengembangan asas saham susulan pelaksanaan pelan pelaburan semula dividen syarikat," katanya.


Dalam lawatan ke tapak minggu lalu, pasukan Maybank IB menyifatkan hartanah di London itu sebagai projek besar yang mengagumkan, setelah dibeli bersama rakan usaha sama Castleforge pada Mac 2023.


Dengan pemilikan 75% oleh Gamuda pada harga £257 juta (kira-kira RM1.46 bilion), bangunan itu kini sedang melalui proses pembangunan semula yang menyaksikan penambahan lagi empat tingkat baharu.


Pembinaan tersebut kata firma penyelidikan tersebut, menjadikan keseluruhan 13 tingkat dengan keluasan yang boleh disewa sekitar 45,522 meter persegi, meningkat 50% berbanding sebelum ini. 


"Apabila siap kelak, bangunan ini bakal menjadi pejabat Gred A yang moden dan patuh piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sejajar permintaan pasaran global semasa," kata Maybank IB.


Gamuda jelasnya, optimis terhadap prospek kadar sewa yang mampu mencecah £118 (RM672) sekaki persegi setahun, dan merancang menjual keseluruhan pegangan 75% dalam projek ini sebaik siap.


Tambah firma berkenaan, dengan kadar hasil modal sebanyak 5%, keuntungan kasar pembangunan (GDM) dijangka boleh menghampiri 20%, jauh lebih tinggi daripada unjuran asalnya iaitu hanya 10%.


Sekiranya direalisasi, RM550 juta keuntungan bersih ini berpotensi diagihkan sebagai dividen khas kepada pemegang saham kumpulan itu, namun hanya selepas projek siap dalam tiga tahun akan datang.


"Kami yakin walaupun keuntungan projek hartanah baharu ini dijangka besar, ia masih lagi di luar jangkaan tempoh ramalan semasa dan tidak dimasukkan dalam unjuran terkini," kata firma itu.


Bagaimanapun, nilai masa depan projek ini sudah didiskaunkan dalam penilaian jumlah bahagian (SOTP) yang membawa kepada kenaikan nilai sebanyak RM226 juta berdasarkan model penilaian.


Maybank IB berkata, meskipun hasil projek masih dalam tempoh menunggu, potensi pulangan tinggi dan strategi jelas menunjukkan Gamuda berada di landasan pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com