KUALA LUMPUR 9 April - Pembinaan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memasuki fasa seterusnya apabila upacara peletakan lunas kapal (keel laying) disempurnakan di Istanbul Shipyard, Turkiye.
Peletakan lunas merupakan fasa penting dalam pembinaan struktur utama sesebuah kapal.
Upacara ini merupakan tradisi dalam industri pembinaan kapal yang menandakan bermulanya aktiviti penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, upacara tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
“Upacara kali ini adalah kesinambungan kepada pemotongan plat besi atau steel cutting yang telah dilaksanakan pada 4 Disember 2024 sekali gus menandakan peralihan daripada fasa pembinaan kepada fasa penyambungan.
“Semasa lawatan delegasi Malaysia ke Turkiye, turut dilaksanakan Mesyuarat Project Monitoring Committee (PMC) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama wakil syarikat.
“PMC ini bagi memantau pengurusan, pentadbiran, pelaksanaan kontrak dan kemajuan kerja pembinaan LMS Batch 2,” ujar kenyataan itu.

Pihak syarikat telah membentangkan kemajuan kerja bagi ketiga-tiga buah kapal dan menunjukkan kemajuan kerja yang sangat memberangsangkan bagi projek ini.
Berdasarkan kemajuan kerja semasa, kapal LMS Batch 2 dijangka siap dan dilancarkan pada pertengahan tahun 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung tahun 2027.
TLDM sebelum ini memilih STM membina kapal LMS Batch 2 yang berasaskan reka bentuk kapal korvet Kelas ADA.
Pembelian melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) yang mana STM telah dilantik sebagai kontraktor utama.


Ketika ini kapal korvet kelas ADA telah dioperasikan tentera laut Turkiye dan Pakistan selain Ukraine yang dalam pembinaan.
Kapal LMS Batch 2 yang mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi bakal meningkatkan keupayaan tempur dan operasi TLDM apabila dioperasikan nanti. - DagangNews.com







