KUALA LUMPUR 7 April – Pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di bawah tetap akan diteruskan mengikut jadual asal dalam Rancangan Malaysia Ke-13, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata, projek itu perlu diteruskan kerana ia melibatkan aspek kedaulatan dan keselamatan negara meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global yang memberi tekanan kewangan ketika ini.
Menurut Adly, pembinaan kapal LCS adalah projek strategik yang sangat penting untuk memastikan keupayaan pertahanan maritim negara terus diperkukuh.
“Lagi lama kita tunggu dan tangguhkan, lagi besar impak kewangannya nanti. Buat masa ini, ia tetap akan dilaksanakan mengikut perancangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Program Ikhtiar Austisme Angkatan Tentera Malaysia di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Projek LCS telah lama menjadi fokus utama perancangan pertahanan negara, serta tumpuan pengawasan kerana kosnya yang besar dan perjalanan pelaksanaannya yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Kapal tempur tersebut dibina untuk menggantikan aset lama dan memperkukuh keupayaan TLDM di perairan nasional dan zon ekonomi eksklusif.
Baru-baru ini kapal LC3 yang dinamakan Sharif Mashor telah dilancarkan dan penamaannya disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Lumut Naval Shipyard (Lunas).
LCS3 Sharif Mashor telah diluncurkan ke permukaan air pada 31 Januari 2026 yang melibatkan pengujian dan penyempurnaan pelbagai sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi.
Program LCS terus mencerminkan peningkatan keupayaan Malaysia dalam pembinaan aset pertahanan laut berteknologi tinggi, selari dengan usaha memperkukuh kedaulatan maritim serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.- DagangNews.com








