KUALA LUMPUR 20 Feb — Kerajaan tidak bercadang meneruskan semula projek kontroversi Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), yang dibatalkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 sebelum dihidupkan balik Perikatan Nasional tiga tahun kemudian.
Pembatalan ini disahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menegaskan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek berkenaan kerana telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan gas Sabah kepada kerajaan negeri pada 2023.
“Pada 5 September 2018, kerajaan memutuskan untuk membatalkan TSGP. Selaras dengan keputusan ini, bekalan gas asli domestik dari Sabah yang mulanya diperuntukkan untuk TSGP telah kemudian diagihkan semula bagi memenuhi permintaan sektor strategik lain.
“Justeru, kerajaan tidak berhasrat untuk meneruskan kembali pelaksanaan projek TSGP pada masa hadapan,” katanya dalam jawapan secara bertulis di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan dikemukakan oleh Bung Moktar Radin (Barisan Nasional-Kinabatangan).
Wakil rakyat tersebut bertanyakan sama ada kerajaan ada bercadang untuk melaksanakan semula projek yang pernah mencetuskan kontroversi itu bagi membantu Sabah mengatasi masalah gangguan bekalan tenaga elektrik, khususnya di pantai timur negeri berkenaan.
Rafizi dalam pada itu turut menegaskan bahawa liputan bidang tugas pentadbiran yang dikendalikan oleh pihak berkuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik di Sabah sudah pun selesai diserahkan balik kepada kerajaan negeri tersebut pada 3 Januari tahun lepas.
“Kerajaan persekutuan komited untuk menyokong agenda membangunkan sektor bekalan gas dan elektrik di Sabah. Sehubungan itu, kementerian saya sedia untuk bekerjasama rapat dengan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Suruhanjaya Tenaga Sabah.
"Langkah berkenaan adalah perlu dalam usaha bersama merangka agenda pembangunan Sabah melalui penggubalan dasar pembangunan jangka panjang ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan bermula pada tahun depan sehingga 2030,” katanya.
Projek TSGP bernilai RM4.06 bilion itu dimulakan pada 2016 di bawah kerajaan Barisan Nasional. Ia melibatkan pemasangan saluran sepanjang 662 kilometer dari terminalnya di Kimanis terletak di pantai barat ke daerah Sandakan dan Tawau di pantai timur.
Berikutan pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Mei 2018, ia telah mendedahkan bahawa 88 peratus daripada nilai projek dan satu lagi projek yang dipanggil Multi-Product Pipeline telah dibayar walaupun hanya 13 peratus daripada kerja-kerja itu disiapkan.
Kedua-dua projek ini namun kemudiannya dibatalkan, dengan kerajaan baharu mendakwa ia disebabkan isu kedudukan fiskalnya yang terhad tetapi pada Februari 2021, pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memutuskan untuk dapat menghidupkan semula TSGP.
Ia dibuat menerusi rundingan lanjut dengan syarikat asal menyerahkan projek itu untuk memutuskan hala tuju baharu. Pada Disember 2023, Senator Tan Sri Anifah Aman menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan maklumat terkini mengenai nasib TSGP. - DagangNews.com








