Projek kompleks sawit bersepadu akan perkukuh hasil Johor Plantations mulai 2027 — Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek kompleks sawit bersepadu akan perkukuh hasil Johor Plantations mulai 2027 — Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Mei — Projek Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan pesat Johor Plantations Group Berhad (JPG) dalam beberapa tahun.


Menurut analisis Phillip Capital, pembangunan fasiliti itu bersama-sama inisiatif biometana bakal memperkukuhkan integrasi hiliran, meningkatkan nilai tambah dan mempelbagaikan sumber pendapatan.


Ujar firma penyelidikan tersebut, walaupun sumbangan projek berkenaan masih lagi di peringkat awal, impak yang lebih ketara dijangka sudah dapat mula direalisasikan oleh kumpulan menjelang tahun depan.


"Seiring itu, pendapatan JPG diunjurkan pulih kepada RM319 juta pada 2027, naik 7% tahun ke tahun (YoY), disokong harga minyak sawit mentah (MSM) lebih kukuh dan pemulihan pengeluaran," katanya.


Bagi 2026 pula, Phillip Capital menjangkakan tahun penyatuan dengan keuntungan diunjurkan susut kira-kira 13% kepada RM300 juta, berikutan pengeluaran lebih lemah pada separuh pertama tahun.


Prestasi suku pertama 2026 turut perlahan apabila pengeluaran tandan buah segar (TBS) merosot 3% YoY kepada 205,000 tan, dengan unjuran keseluruhan tahun ini kekal stabil sekitar 1.1 juta tan.
 

Johor Plantations_DagangNews


Keadaan tersebut dipengaruhi faktor cuaca, aktiviti penanaman semula agresif serta kesan biologi tertangguh, namun pengeluaran dijangka pulih secara berperingkat yang bermula separuh kedua 2026.


"Bagi menampung kekurangan hasil dalaman, JPG meningkatkan pembelian TBS luaran demi memastikan penggunaan kilang kekal kukuh, walaupun ada sedikit tekanan kepada margin," jelas Phillip Capital.


Bagaimanapun tambah firma penyelidikan berkenaan, pada masa sama, kadar perahan minyak (OER) yang stabil berjaya membantu kumpulan perladangan itu mengurangkan impak hasil secara lebih rendah.


Ia turut menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.92 daripada RM1.53, selepas menyemak naik unjuran hasil 2026 hingga 2028 sekitar 26%, didorong andaian harga MSM yang tinggi dan kos operasi rendah.


Phillip Capital namun mengekalkan saranan 'pegang' setelah mengambil kira risiko pengeluaran, ketidaktentuan harga komoditi, tekanan kos serta faktor geopolitik dan ekonomi global. - DagangNews.com