KUALA LUMPUR 17 Sept – Pelancaran projek perindustrian mega KLK TechPark di Tanjung Malim, Perak oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berpotensi menjana tambahan keuntungan bersih.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), pembangunan hab industri seluas 607 hektar itu diunjur berupaya menyumbang antara 3% hingga 5% bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027.
Tambah firma penyelidikan tersebut, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kepada KLK yang sebelum ini banyak bergantung kepada sumber segmen perladangan.
"Kami mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran tidak berubah RM22.72 sesaham, berdasarkan penilaian yang merangkumi potensi nilai tanah," kata firma itu dalam notanya.
Projek KLK TechPark dilancarkan anak syarikat KLK iaitu, KLK Land, pada 12 September 2025 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan RM3.5 bilion dalam tempoh sedekad.
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia, BYD disahkan sebagai pelabur utama Fasa projek ini dan akan menduduki kawasan seluas 61 hektar, yang dijangka siap pada akhir 2026.
PublicInvest menambah, KLK TechPark juga terletak strategik bersebelahan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dan mempunyai akses langsung kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
"Daripada 607 haktar tanah projek tersebut, sebanyak 526 hektar dikhususkan untuk tapak pembangunan industri, manakala 81 hektar lagi untuk kediaman," kata firma penyelidikan itu.
Di samping itu, harga pasaran semasa tanah perindustrian di kawasan berkenaan kata firma tersebut, adalah dalam lingkungan daripada RM15 sehingga RM55 sekaki persegi (psf).
Berdasarkan andaian konservatif RM45 psf kata PublicInvest, nilai tanah KLK TechPark dianggarkan sekitar RM3 bilion, iaitu bersamaan 13.3% daripada modal pasaran KLK sendiri.
Artikel berkaitan: KLK Land lancar hab industri RM3.5 bilion di Tanjong Malim, BYD jadi pelabur utama
“Dengan infrastruktur yang semakin lengkap dan akses terus ke lebuh raya utama negara, tanah KLK Land ini dijangka meraih premium harga berbanding andaian semasa,” jelas firma itu.
Pada masa sama, ia turut menekankan projek ini mengurangkan kebergantungan KLK terhadap pendapatan perladangan, yang selama ini menyumbang bahagian terbesar keuntungan kumpulan.
Melalui KLK TechPark, segmen hartanah dijangka menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan masa depan, terutamanya selepas kejayaan projek Bandar Seri Coalfields di Sungai Buloh, Selangor.
Buat masa ini kata PublicInvest, hanya 1% daripada keuntungan kumpulan disumbangkan oleh bahagian hartanah, dan inisiatif baharu ini dijangka mengubah kedudukan secara progresif.
"Fasa kedua projek yang dijadual pada akhir 2025, akan memperkenalkan taman vendor seluas 81 hektar bagi menampung keperluan pengeluar automotif dan pemain industri berkaitan," katanya.
Perkembangan tersebut tambah firma berkenaan, dijangka menarik banyak pelabur tempatan dan asing yang ingin menempatkan operasi mereka supaya berhampiran dengan BYD dan AHTV.
Secara keseluruhan, ia berpandangan pembangunan KLK TechPark bukan sekadar membuka peluang baharu sektor hartanah, tetapi mengukuh kedudukan KLK sebagai konglomerat pelbagai segmen.
PublicInvest yakin, kumpulan berkenaan berada dalam landasan tepat menyertai ekonomi masa depan yang lebih lestari dan berteknologi tinggi menerusi projek pembangunan hartanah.
"Dengan tarikan pelabur utama, lokasi strategik, dan peluang nilai tanah signifikan, KLK mampu mencorak pertumbuhan jangka panjang lebih seimbang," katanya. - DagangNews.com








