Projek ECRL Terengganu capai kemajuan 93.55%, stesen Kuala Terengganu siap 68.87% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek ECRL Terengganu capai kemajuan 93.55%, stesen Kuala Terengganu siap 68.87%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 30 Okt – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Terengganu terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, dengan kemajuan keseluruhan setakat September 2025 mencapai 93.55%, menjadikan negeri ini antara yang paling maju dalam pelaksanaan projek tersebut.

 

Menurut data terkini, kerja-kerja infrastruktur kini hampir lengkap pada tahap 99.30%, manakala kerja-kerja bangunan mencatat 71.37%, termasuk Stesen Kuala Terengganu yang telah siap 68.87%.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meninjau perkembangan semasa projek tersebut bersama pimpinan tertinggi kerajaan negeri dan MRL khususnya di Stesen Setiu.

 

 

 

 

 

 

“Satu sesi pandu uji menggunakan gerabak kerja berkuasa diesel turut dijalankan dengan kelajuan maksimum 80 km/jam bagi mensimulasikan perjalanan antara Stesen Setiu dan Stesen Kuala Terengganu.

 

“Pelaksanaan projek ECRL diharap dapat meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan darat dan membuka lebih banyak akses mobiliti untuk rakyat, khususnya dalam menghubungkan kawasan pesisir dengan pusat-pusat pertumbuhan baharu di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pembinaan projek ECRL di Terengganu merangkumi jajaran sepanjang 242 kilometer dari daerah Besut ke Kemaman.

 

Pembangunan turut melibatkan pembinaan enam stesen iaitu Stesen Jertih, Besut, Stesen Bandar Permaisuri, Setiu, Stesen Kuala Terengganu dan Stesen Kemasik, Kemaman yang akan berfungsi untuk mengangkut penumpang.

 

 

 

 

 

 

Sementara dua lagi stesen iaitu Stesen Dungun dan Stesen Chukai, Kemaman akan dibangunkan bagi tujuan pengangkutan kargo dan penumpang.

 

Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027, sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian. - DagangNews.com