KUALA LUMPUR 27 Okt – Cadangan projek transit pantas autonomi bertingkat (E-ART) dijangka menjadi pemangkin utama gelombang pesat pertumbuhan bandar raya dan pasaran hartanah Johor Bahru.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pelaksanaan sistem itu yang digariskan dalam Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035 (RTJB 2035) juga bakal mengubah landskap perbandaran tersebut.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, ibu negeri Johor itu akan menjadi kota antarabangsa, serta berdaya tahan, melalui peningkatan mobiliti, dan sambungan di sepanjang koridor pertumbuhan.
“E-ART meningkatkan akses bandar, melonjakkan nilai tanah, dan merangsang pembangunan berintensiti tinggi sekitar stesen serta zon pembangunan berorientasikan transit (TOD)," katanya dalam nota.
Selain itu jelas HLIB, pengangkutan moden tersebut memperkukuhkan hubungan antara sistem transit pantas (RTS) Bukit Chagar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Projek E-ART merupakan inisiatif infrastruktur transformasi utama dalam merealisasikan visi Johor Bahru 2035, bersama-sama projek RTS Link yang sedang dibangunkan bagi menghubungkan Singapura.
Kedua-dua sistem ini tambah firma tersebut, dijangka mengubah corak mobiliti bandar, menyokong pembangunan berintensiti tinggi serta membuka kluster ekonomi baharu di kawasan pinggir bandar.
"Rangkaian E-ART meliputi empat koridor utama iaitu Skudai, Tebrau, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, dengan JB Sentral sebagai hab pertukaran utama diintegrasi bersama RTS Link," kata HLIB.
Sistem ini bakal menggunakan kenderaan autonomi beroda getah tanpa pemandu, beroperasi di laluan jejambat khas dengan kapasiti muatan antara 5,000 hingga 12,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Kata firma penyelidikan tersebut, permintaan untuk cadangan (RFP) projek khas berkenaan sudah pun dikeluarkan pada Mac 2025, dengan pelarasan jajaran kemudian dimuktamadkan pula pada Ogos 2025.
Kerajaan Johor tambah HLIB, dijangka menganugerahkan konsesi kepada syarikat yang menang bidaan menjelang akhir 2025, manakala kerja-kerja pembinaan dijangka hanya dapat bermula pada 2026.
“Segmen pertama bakal beroperasi antara 2029-2030, diikuti penyempurnaan koridor utama menjelang 2031–2032, dan integrasi penuh termasuk kemudahan serta pertukaran menjelang 2035,” ujarnya.
Pada masa sama, firma berkenaan menjangkakan pelaksanaan E-ART mampu meningkatkan nilai hartanah secara menyeluruh, khususnya di kawasan sekitar stesen dan zon TOD yang dicadangkan kerajaan.
Kawasan ini tambah HLIB, dijangka menikmati kepadatan pembangunan lebih tinggi dan nisbah plot yang cukup besar, disokong faktor peningkatan infrastruktur serta pelbagai aktiviti komersial.
Apabila projek RTS dan E-ART siap sepenuhnya, pelabur dan pelawat dari Singapura akan ada akses mudah ke pedalaman Johor, sekali gus merancakkan pembangunan kediaman, runcit dan pelancongan.
"Dari sudut perindustrian, peningkatan sambungan ke lapangan terbang dan pelabuhan mengukuhkan tahap daya saing Johor sebagai hab pembuatan dan logistik utama di selatan Malaysia," katanya.
HLIB meramalkan beberapa pemaju dengan pendedahan yang kukuh di sepanjang koridor E-ART menjadi penerima manfaat utama berikutan peningkatan nilai tanah dan peluang pembangunan baharu kemudian.
Ini kata firma itu, termasuk IOI Properties Group Berhad, Sunway Berhad, UEM Sunrise Berhad, Mah Sing Group Berhad, IGB Berhad, KSL Holdings Berhad, WCT Holdings Berhad dan Scientex Berhad.
Projek E-ART bukan sekadar sistem pengangkutan baharu, tetapi pemangkin transformasi bandar raya Johor Bahru ke arah metropolis moden berintegrasi tinggi menjelang 2035. - DagangNews.com








