KUALA LUMPUR 10 Nov – Dialog Group Berhad kemungkinan berdepan risiko kelewatan dalam pembangunan projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) di Johor, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu susulan laporan rakan usaha sama, ChemOne Group dari Indonesia, menghadapi cabaran dalam masalah pembiayaan kewangan untuk projek berkenaan.
Jelasnya, jika laporan itu benar, pembinaan kemudahan tangki penyimpanan oleh syarikat tersebut mungkin tertunda, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga saham dalam masa yang terdekat.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham Dialog dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.55 berasaskan penilaian jumlah bahagian," kata CGSI dalam notanya hari ini.
Situasi tersebut tambah firma itu, memandangkan syarikat dijangka hampir memuktamadkan kontrak terminal tangki baharu berkapasiti sejuta meter padu (cbm) yang berasingan daripada projek PEC.
ChemOne jelasnya, berdepan kesukaran menyiapkan pembiayaan penuh bernilai AS$5.3 bilion (RM22.08 bilion), meskipun memperoleh AS$3.5 bilion (RM14.58 bilion) daripada agensi kredit eksport (ECA).
Sehubungan itu kata CGSI, projek berkenaan yang pada asalnya dijadual memulakan operasi pada suku keempat 2028 (4Q28F), ketika ini dilaporkan mungkin tertunda kepada suku pertama 2029 (1Q29F).
"Kos kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) asalnya dianggarkan hanya AS$2.5 bilion (RM10.42 bilion) namun dilaporkan sudah meningkat dengan begitu ketara," katanya.
Situasi itu menyebabkan ChemOne berhasrat untuk menggantikan kontraktor Itali kepada China, namun langkah itu boleh menyebabkan kehilangan AS$1.16 bilion (RM6.66 bilion) pembiayaan dari ECA Itali.
Keadaan ini meningkatkan risiko kelewatan bagi projek PEC dan CGSI menjangka kelewatan mungkin menunda pelaksanaan terminal penyimpanan minyak kerana Dialog dijangka memegang 60% ekuiti.
Semakan namun menunjukkan kumpulan itu sedang berunding untuk projek terminal baharu berpotensi dengan syarikat dagangan minyak utama antarabangsa, dan dijangka mula beroperasi seawal 2027.
"Pada masa ini, Dialog memiliki kapasiti tangki 5.3 juta cbm atau 2.8 juta cbm setelah diselaras dengan pegangan ekuiti dan tambahan 0.9 juta cbm daripada projek baharu itu amat baik," katanya.
CGSI menjangka, sekiranya dilaksanakan, Dialog bakal meningkatkan kapasiti terlaras sebanyak 32%, yang dilihat sebagai pemangkin penilaian semula penting bagi potensi pertumbuhan syarikat itu.
Ia namun memberi amaran risiko penurunan termasuk kemungkinan harga minyak mentah global yang lebih rendah pada FY26 berikutan peningkatan pengeluaran bekalan oleh OPEC+. - DagangNews.com








