KUALA LUMPUR 7 Okt – Pemulihan semula projek-projek tertangguh di rantau Asia Barat dijangka menjadi pemangkin utama kepada prestasi pendapatan AWC Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), kumpulan itu mampu mencatat pertumbuhan hasil mencecah sebanyak 12.4% pada FY26, dipacu pemulihan kukuh dalam segmen alam sekitar dan kejuruteraan.
Firma penyelidikan berkenaan menambah, ini termasuk perkembangan positif di Emiriah Arab Bersatu (UAE) antaranya penyambungan semula projek utama melibatkan kediaman di Dubai bernilai RM9 juta.
"Ia tertangguh selama dua suku dan AWC dijangka meraih beberapa plot tambahan dalam pembangunan Al Raha Beach Resort, berbanding tiga plot yang berjaya diterima pada FY25," katanya dalam satu nota.
HLIB menambah, projek-projek yang tertunda di negara itu, kini kembali diaktifkan dan pemulihan ini bakal menjadi penyumbang penting kepada lonjakan pendapatan kumpulan berkenaan pada tahun hadapan.
Selain itu jelas firma tersebut, AWC turut menjangkakan berlaku peningkatan bilangan kontrak yang dapat diperoleh di Malaysia dan Singapura, khususnya dalam sektor pengangkutan serta pembinaan.
Antara projek utama dijangka menyumbang termasuk kerja di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan penglibatannya dalam projek terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
"Permintaan dijangka terus stabil di Singapura, manakala Malaysia pula didapati menunjukkan trend momentum pertumbuhan yang lebih tinggi dalam jangka pendek dan sederhana selepas ini," jelas HLIB.
Segmen alam sekitar pula kata firma itu, dijangka menyamai prestasi paling baik pada FY24 dengan pendapatan mencecah RM104 juta, disokong oleh buku tempahan tertinggi sebanyak RM190 juta.
AWC juga dijangka meraih manfaat daripada pembangunan pesat di Johor Bahru, yang menyumbang kepada permintaan kukuh kerja-kerja paip, selain permintaan berterusan sektor kediaman di Lembah Klang.
Syarikat itu kata HLIB, kini terlibat beberapa projek berkaitan pusat data di Cyberjaya, Elmina dan Johor, dengan nilai tender yang dibida dianggarkan RM150 juta merentasi Malaysia serta Singapura.
"Dalam segmen rel, AWC menjangka prestasi FY26 sejajar dengan FY25 melalui panggilan kerja baharu daripada pelbagai projek yang berkaitan tender Prasarana Berhad," jelas firma penyelidikan itu.
Syarikat berkenaan katanya, turut membida kontrak sistem Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara, namun penganugerahan itu dijangka ditangguh ke separuh pertama 2026 susulan perubahan skop kerja.
Bagi segmen pengurusan fasiliti bersepadu (IFM) pula, AWC tambah HLIB, diyakini masih lagi dapat mengekalkan konsesinya untuk tender Zon Selatan yang akan tamat menjelang akhir Disember 2025.
Firma itu berpandangan, sekiranya kontrak ini diperoleh semula dengan kadar baharu diselaraskan, ia akan menjadi pemacu pemulihan utama kepada segmen IFM untuk tempoh tiga tahun yang akan datang.
"Secara keseluruhan, prestasi AWC dijangka kukuh dan kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 84 sen, sejajar prospek pertumbuhan mampan menjelang FY26," katanya. - DagangNews.com








