Projek asrama pelajar di London tidak sumbang pendapatan ketara jangka pendek Gamuda – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek asrama pelajar di London tidak sumbang pendapatan ketara jangka pendek Gamuda – Maybank IB

Foto kredit Gamuda Land
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Okt – Projek asrama pelajar baharu Gamuda Berhad di London dijangka tidak memberi sumbangan secara ketara kepada hasil jangka pendek, menurut Maybank Investment Bank


Bagaimanapun firma itu melihatnya sebagai langkah strategik penting dalam mengukuhkan kedudukan kumpulan di pasaran global, terutamanya dalam segmen kediaman pelajar berasaskan tujuan (PBSA).


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.17 berdasarkan penilaiannya sambil menyifatkan penurunan harga saham baru-baru ini sebagai peluang pelabur menambah ekuiti.


"Walaupun projek ini tidak memberi kesan material kepada hasil kumpulan dalam tempoh terdekat, ia membantu menampung kejatuhan jualan hartanah Gamuda di Malaysia," kata Maybank IB dalam notanya.


Syarikat tersebut baru-baru ini memperoleh tapak pembangunan PBSA di 14 Marshgate Lane, Stratford, London dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM600 juta dan akan menempatkan 321 katil.


Ia merupakan projek PBSA pertama Gamuda yang dimiliki, dibangunkan dan diurus sepenuhnya sendiri kumpulan berkenaan di Britain serta dijangka dapat siap beroperasi sama ada pada 2028 atau 2029.


Lokasinya kata Maybank IB, berhampiran University College London dan London College of Fashion yang ada lebih 10,000 pelajar, serta dekat pusat beli-belah terbesar London, Westfield Stratford.



Artikel berkaitan: Gamuda Land perkukuh kehadiran di UK dengan projek kediaman pelajar RM600 juta di London


“Projek ini, bersama beberapa pembangunan PBSA lain dengan GDV keseluruhan RM1.9 bilion, dijangka menjadi pemangkin penting dalam usaha Gamuda mempelbagaikan sumber pendapatan," jelas firma itu.


Pada masa sama, ia berpotensi menambah kestabilan keuntungan jangka panjang selepas kumpulan itu mencatatkan penurunan jualan RM1.3 bilion atau 51% bagi tahun kewangan berakhir pada Mac 2025.


Gamuda kini kata Maybank IB, merancang membangunkan 3,000 katil pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk di London, Glasgow, Bristol, Edinburgh, Manchester, Birmingham dan Leeds.


Kesemua bandar besar tersebut jelas firma berkenaan, mempunyai permintaan tinggi kepada penginapan daripada pelajar antarabangsa, namun Gamuda tidak mendedahkan harga pengambilalihan hartanah itu.


"Kami menganggarkan margin keuntungan kasar pula sekitar 15%, dengan nilai tambahan hanya sekitar RM67.5 juta atau 1 sen sesaham kepada keuntungan kumpulan ini apabila projek siap," katanya lagi.


Sehubungan itu, Maybank IB terus mengekalkan unjuran pendapatan serta saranan 'beli' dengan TP tidak berubah kepada sebanyak RM6.17, sambil mengekalkan nilai 'blue sky' pada RM7.02 sesaham.


Ia menegaskan langkah Gamuda mengembangkan portfolio menandakan strategi jangka panjang dan berpotensi menjana hasil berulang, serta mengimbangi ketidaktentuan pasaran hartanah tempatan. - DagangNews.com