KUALA LUMPUR 17 Sept – Program 'Solar Accelerated Transition Action Programme' (Solar ATAP) dijangka mampu menjadi menjadi pemangkin baharu kepada industri solar bumbung di Malaysia.
Menurut Phillip Capital, projek ini bakal dilancarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada Disember 2025, dengan fokus kepada segmen kediaman dan komersial.
Berdasarkan perkembangan positif berkenaan dalam tempoh jangka panjang, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui (RE),
"Kami turut menamakan Solarvest Holdings Berhad, BM Greentech Berhad dan Pekat Group Berhad sebagai penerima manfaat utama program baharu Petra ini," kata firma tersebut dalam notanya.
Solar ATAP tambah Phillip Capital, diperkenalkan kementerian berkenaan sebagai pengganti kepada rangka kerja 'Net Energy Metering' (NEM) yang sudah pun berakhir pada 30 Jun 2025.
Tidak seperti NEM yang menggunakan mekanisme ‘1-to-1 offset’ terhadap tarif runcit, Solar ATAP pula katanya, berasaskan kaedah harga pasaran menerusi 'System Marginal Price' (SMP).
Firma penyelidikan itu menambah, harga borong elektrik berdasarkan kos loji tenaga terakhir yang dihantar dan untuk 2025, SMP diunjurkan sekitar 20 sen hingga 30 sen kilowatt sejam (kWh).
"Kaedah ini jauh lebih rendah berbanding model tarif runcit semasa, sekali gus menjadikan penjimatan bil elektrik 44% lebih rendah berbanding skim NEM Rakyat," kata Phillip Capital.
Sehubungan itu, firma tersebut berkata, langkah kali ini menandakan peralihan dasar kerajaan daripada subsidi tarif kepada struktur yang lebih mencerminkan kos sebenar penjanaan tenaga.
Walaupun pulangan pelaburan (ROI) di bawah Solar ATAP dijangka lebih perlahan berbanding NEM, firma berkenaan berpendapat, inisiatif baharu itu tetap membuka ruang pertumbuhan.
Ini terutama segmen tenaga sendiri (Selco) serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi pengguna komersial dan industri yang beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Pemain industri seperti BM Greentech dan Pekat, yang memang memiliki pendedahan kukuh dalam pasaran solar kediaman, dijangka mendapat kelebihan lebih kompetitif," kata firma berkenaan.
Phillip Capital menambah, perkembangan itu berikutan Petra tidak lagi menetapkan sebarang kuota atau had masa pemasangan seperti yang pernah dikenakan sebelum ini di bawah skim NEM.
Pengguna juga kata firma berkenaan, masih menikmati penjimatan apabila tempoh pulangan modal pemasangan solar itu akan menjadi lebih panjang di bawah Solar ATAP berbanding sebelumnya.
Pada masa sana, firma itu menyatakan permintaan untuk RE kekal kukuh, disokong inisiatif kerajaan dalam peralihan tenaga, serta peningkatan permintaan tenaga bersih dari korporat.
"Pemain utama industri solar tempatan seperti Solarvest, BM Greentech dan Pekat berada dalam kedudukan kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan masing-masing," kata Phillip Capital.
Ketiga-tiga syarikat ini diberikan saranan 'beli', namun firma penyelidikan itu menetapkan harga sasaran sesaham untuk Solarvest kepada RM3.36, BM Greentech (RM2.58) dan Pekat (RM1.90).
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko utama sektor ini termasuk perubahan dasar kerajaan berkaitan RE, kelewatan pelaksanaan projek, serta persaingan pasaran yang semakin sengit.
Secara keseluruhan, Philip Capital menyifatkan struktur baharu Solar ATAP menawarkan kos pulangan rendah, namun menyediakan kesinambungan kritikal pertumbuhan industri solar negara.
Ia kekal positif terhadap sektor RE dengan unjuran jangka sederhana hingga panjang yang terus disokong oleh dasar kerajaan dan permintaan pasaran yang memberangsangkan. - DagangNews.com








