Program Pecutan Sains Hayat Selangor 2025: 10 syarikat berpeluang terima pelaburan hingga RM250,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program Pecutan Sains Hayat Selangor 2025: 10 syarikat berpeluang terima pelaburan hingga RM250,000

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac – Sebanyak 10 syarikat terbaik dalam Program Pecutan Sains Hayat Selangor 2025 berpeluang menerima pelaburan bernilai antara RM50,000 hingga RM250,000 setiap satu.

 

Program selama tujuh bulan ini dilancarkan oleh Invest Selangor pada Oktober 2025 dan dijalankan bersama firma modal teroka NEXEA. Ia berjaya menarik 168 permohonan daripada syarikat yang sedang berkembang dalam bidang bioteknologi, kesihatan digital, platform kesihatan dan kelestarian.

 

Selepas proses penapisan yang kompetitif dilaksanakan, sebanyak 21 syarikat dipilih untuk menyertai program ini yang menerima lebih 280 jam bimbingan berstruktur termasuk penilaian pelabur, sokongan validasi saintifik, dan latihan komersial untuk mempersiapkan mereka dalam pengumpulan modal perniagaan.

 

Sempena Demo Day, syarikat peserta mempersembahkan model perniagaan, peluang pasaran dan strategi pertumbuhan kepada pelabur, rakan korporat dan pihak berkepentingan industri.

 

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata program ini menunjukkan komitmen negeri untuk membina ekosistem sains hayat yang kuat dan kompetitif.

 

“Melalui program ini, kita bukan sahaja membangunkan syarikat berpotensi tinggi, tetapi juga memperkukuh rangkaian komersial yang menghubungkan inovasi dengan industri, pelaburan dan pasaran global,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Hasan Azhari Idris berkata program ini memberi fokus kepada pengasas untuk membina asas kukuh dan menjadi syarikat bersedia untuk pelabur.

 

“Syarikat terpilih berpotensi menerima pelaburan sehingga RM250,000 melalui NEXEA dan terus menerima sokongan melalui program yang menghubungkan mereka dengan mentor dan pelabur bagi memperluas perniagaan,” katanya.

 

10 syarikat terbaik dari kohort 2025 ialah PlusVibes, YSBiotik Sdn Bhd, GreenSHeart Sdn Bhd, Bioloop Sdn Bhd, Materials In Works, Ocean Rich Resources, Microbiome Sdn Bhd, Health Digital Technologies Sdn Bhd (DoctorOnCall), Pixelence Sdn Bhd dan Promed Health Ventures Sdn Bhd.

 

Invest Selangor berkata program ini sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memperkukuh ekosistem inovasi negeri, termasuk inisiatif SME–Investor Linkages Programme dan Mid-Tier Development Programme yang menyokong syarikat tempatan untuk berkembang dan menarik pelaburan.

 

Dengan perbincangan pelaburan yang masih berjalan selepas Demo Day, syarikat peserta dijangka bergerak ke fasa pertumbuhan seterusnya, memberi tumpuan kepada penggalangan dana dan pengembangan perniagaan. - DagangNews.com